Fitnah Agong: NGO saran ambil tindakan tegas

Zulkepli Mohamad
A
A

MACHANG - Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas dan memandang serius gejala menabur fitnah di media sosial tanpa mengira siapa termasuk membabitkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Pengerusi badan bukan kerajaan (NGO), Yayasan Amal Datuk Zul Wisma, Datuk Dr Zulkepli Mohamad berkata, sikap tidak bertanggungjawab dan beretika itu perlu dibendung dengan tegas sebelum ia menjadi barah dalam masyarakat di negara ini.

Menurutnya, kerajaan tidak boleh berkompromi dengan tindakan memburukkan Sultan Muhammad V sekali gus menimbulkan pandangan negatif masyarakat terhadap baginda.

“Kalau dibiarkan lebih ramai lagi yang akan melakukan perkara yang sama atas pelbagai tujuan termasuk sekadar suka-suka atau menambah ‘like’ namun memberikan kesan negatif kepada ketua negara.

“Mungkin ada yang menganggapnya sebagai perkara biasa namun apabila dikongsi dan disebarluaskan melalui media sosial, ia menjadi buah mulut rakyat dan ada yang menganggapnya sebagai berita benar,” katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.

Terdahulu, Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V dikatakan akan meletakkan jawatan dalam masa terdekat dan isu itu tular di media sosial.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada kesahihan mengenai perkara itu malah Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya tidak menerima sebarang maklumat mengenai perkara tersebut.

Menurutnya, tindakan itu salah satu usaha bagi menjatuhkan Kerajaan Kelantan.