Peguam persoal kuasa menteri tubuhkan sekolah vernakular

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang peguam memfailkan notis usul bagi mencabar kedudukan sekolah vernakular di negara ini.

Mohd Khairul Azam Abdul Aziz selaku plaintif memfailkan permohonan itu menerusi Tetuan Azam Aziz Shaharuddinali & co di Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan hari ini.

Dalam permohonannya, Mohd Khairul mendakwa Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk memberi kuasa budi bicara kepada Menteri Pendidikan bagi menubuhkan Sekolah Rendah Jenis Cina (SKJC) dan Sekolah Rendah Jenis Tamil (SKJT).

Dakwanya, ini kerana Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan tidak memberi kuasa sedemikian.

Sehubungan itu, beliau memohon satu perintah deklarasi bahawa Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk membuat Seksyen 28 dan Seksyen 17 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

Notis usul tersebut menamakan

Menteri Pendidikan Malaysia dan Kerajaan masing-masing sebagai defendan pertama serta kedua.

Ketika ditemui pemberita di pekarangan Istana Kehakiman, dekat sini, Mohd Khairul Azam menolak tanggapan bahawa tindakannya itu bersifat perkauman.

Artikel Berkaitan:

"Ini hanyalah isu Perlembagaan semata-mata, bukan isu perkauman," katanya.

Menurutnya, pengumuman Belanjawan 2020 yang memperuntukkan sejumlah besar mendorong beliau untuk mengambil tindakan terbabit.

"Selaku pembayar cukai, kita berhak untuk tahu dan pastikan kerajaan membelanjakan duit rakyat kepada institusi yang dibenarkan oleh Perlembagaan dan undang-undang.

"Sekiranya insitusi (sekolah vernakular) ini tidak sah di sisi undang-undang, maka duit rakyat tidak sewajarnya disalurkan," katanya.

Sementara itu, Datuk Shaharuddin Ali yang mengetuai pasukan peguam yang terdiri daripada lima yang lain berkata, pihaknya akan menyerahkan permohonan itu kepada Peguam Negara dalam masa terdekat.

"Teras permohonan ini adalah untuk mendapatkan keputusan Mahkamah Persekutuan, sama ada Parlimen mempunyai kuasa untuk membuat Seksyen 28, dan Seksyen 17 Akta Pendidikan 1966," katanya.