Hasil laut, perairan negara perlu dilindungi

No Image Caption
A
A
A

Pendedahan yang disiarkan Sinar Harian semalam mengenai pencerobohan nelayan asing rakus merampas hasil laut dalam di kawasan perairan negara kita cukup serius dan membimbangkan.

Berdasarkan statistik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), sepanjang tahun 2015 sehingga 2019, pihak berkenaan mendapati kes bot nelayan asing yang menceroboh ke perairan negara meningkat dengan ketara.

Pada tahun 2015, APMM menahan 107 bot nelayan asing diikuti 108 (2016), 148 (2017), 110 (2018) dan 151 kes pada tahun 2019 dengan jumlah keseluruhan 624 kes.

Biarpun kerajaan melalui pelbagai agensi penguatkuasaan telah mengetatkan rondaan di kawasan sempadan perairan negara, kegiatan nelayan asing yang secara terang-terang memasuki dan merampas hasil laut kita masih sukar diatasi.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub mengakui negara kita telah kehilangan hasil sebanyak RM5 bilion setahun akibat pencerobohan nelayan asing.

Sudah lama kita mendengar keluhan oleh warga nelayan tempatan yang kerap kali berhadapan persaingan malah diganggu nelayan asing.

Sememangnya kedaulatan negara tercabar. Hukuman denda dan penjara terhadap nelayan asing seperti yang dilaksanakan mengikut undang-undang hari ini sudah tidak memadai sebaliknya ia perlu lebih keras dan berat.

Kerajaan mesti menjamin agar rezeki nelayan kita tidak dirampas selain mengelakkan kawasan perairan negara daripada terus dicerobohi dengan sewenang-wenangnya.

Artikel Berkaitan:

Cadangan memiliki kapal induk bagi memudahkan operasi penguatkuasaan di laut seperti yang diumumkan Salahuddin kelmarin amat tepat di samping penambahan jumlah anggota penguatkuasaan juga perlu dijalankan secepat yang mungkin.

Selain itu, cadangan Salahuddin sebelum ini untuk melibatkan Kementerian Pertahanan menampung kekangan aset APPM juga antara langkah yang boleh dipertimbangkan.

Kementerian Pertahanan yang dilengkapi peralatan dan anggota yang cukup boleh memberikan sumbangan menyekat pencerobohan nelayan asing.

Kerjasama daripada nelayan kita sebagai mata dan telinga juga mampu memastikan perairan kita bersih daripada diceroboh dan hasil laut tidak lagi dikaut rakyat asing.