Bila warga asing ‘sama ramai’ dengan orang kita

KALAU berjalan di sesetengah lokasi tumpuan terutama pada hujung minggu, kadang-kadang terlintas juga di fikiran, kita ini masih di Malaysia atau sedang melancong ke negara orang?
Bukan mahu bersikap prejudis terhadap warga asing, mereka yang datang secara sah, bekerja mencari rezeki dan mematuhi undang-undang sememangnya tidak menjadi masalah.
Tetapi apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan warga Bangladesh mencatatkan jumlah tertinggi melanggar syarat pas imigresen, kita tidak boleh sekadar angguk kemudian buat tidak tahu.
Sejak 2023 hingga 15 September 2026, sebanyak 6,898 warga Bangladesh direkodkan melakukan kesalahan itu, diikuti Thailand seramai 4,856 orang dan Indonesia (2,154).
Keseluruhannya, 18,838 kesalahan melanggar syarat pas direkodkan.
Itu bukan angka kecil dan apa yang menjadi persoalan, kehadiran warga asing kini bukan sahaja ketara di bandar besar, malah ada yang dilihat bekerja dan terlibat dalam pelbagai perniagaan di pekan serta kawasan luar bandar.
Kalau semuanya sah, silakan. Masalahnya apabila datang menggunakan pas tertentu tetapi bekerja atau menjalankan perniagaan yang tidak dibenarkan.
Lebih menarik, bagaimana mereka boleh mendapat pekerjaan, berniaga atau menyewa premis dengan begitu mudah? Siapa yang membuka pintu?
Jangan-jangan ketika kita sibuk menuding jari kepada warga asing, ada orang kita sendiri di belakang tabir sedang tersenyum mengira untung.
Buktinya, 801 majikan turut diambil tindakan dari Januari hingga Mei lalu kerana menggaji warga asing tanpa dokumen perjalanan atau pas sah.
Sebab itu penguatkuasaan jangan hanya mengejar pekerja, cari juga majikan, ejen atau sesiapa sahaja yang bersubahat.
Kita perlukan pekerja asing dan yang datang secara sah harus dihormati. Tetapi keramahan Malaysia jangan pula dianggap lesen melakukan apa sahaja.
Kalau tidak dibendung, jangan sampai suatu hari nanti apabila keluar rumah, kita pula tertanya-tanya siapa tetamu, siapa tuan rumah.
Akhirnya warga asing sama ramai dengan orang kita.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
