LTTE: Permohonan habeas corpus lima individu disebut Khamis ini

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Permohonan habeas corpus difailkan lima individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), masing-masing dari Melaka dan Negeri Sembilan yang ditahan berkaitan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) ditetapkan untuk sebutan Khamis ini.

Mengikut senarai kes mahkamah, kes itu akan disebut di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah, Raja Shahril Anuar Raja Baniamin pada 10 pagi.

Semasa sebutan kes, mahkamah akan menetapkan tarikh untuk mendengar permohonan habeas corpus dan lain-lain arahan berkaitan kes itu.

Semalam, G Saminathan, 34; P Gunasekaran, 60; S Chandru, 38; V Suresh Kumar dan seorang juruteknik, S Arivainathan, 56, memfailkan permohonan habeas corpus di kaunter pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah di sini antara lain memohon supaya mereka dibebaskan serta-merta daripada tahanan.

Saminathan dan Gunasekaran masing-masing merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek dan ADUN Seremban Jaya, manakala Chandru dan Suresh Kumar merupakan ahli DAP.

Mereka juga memohon untuk mencabar penahanan mereka mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) berhubung isu tersebut.

Mereka selaku pemohon menamakan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antipengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay; Inspektor Jasveer Singh (pegawai polis yang menangkap mereka); Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga kelima.

Dalam permohonan itu, kesemua mereka memohon perintah mahkamah bahawa penahanan mereka melalui notis mengikut Seksyen 5(1)a Akta SOSMA 2012 bertarikh antara 10 dan 12 Oktober lepas yang dikeluarkan responden kedua (Jasveer) dan dilaksanakan di bawah seliaan responden pertama (Ayob Khan) di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, Kuala Lumpur adalah tidak sah dan terbatal.

Artikel Berkaitan:

Mereka juga memohon satu writ habeas corpus dikeluarkan mahkamah supaya dibebaskan serta-merta daripada tahanan, selain turut memohon relif-relif lain yang dianggap adil dan sesuai oleh mahkamah.

Permohonan itu juga meletakkan alasan penahanan mereka telah melanggari prinsip hak kesamarataan selain tidak mempunyai hak akses kepada peguam ketika kejadian.

Permohonan turut disertakan dengan sijil perakuan segera supaya mahkamah menyegerakan pendengaran habeas corpus itu.

Awal bulan ini, seramai 12 individu ditahan kerana disyaki terbabit menyokong dan menyalurkan dana untuk LTTE yang telah disenarai sebagai kumpulan pengganas di Malaysia sejak 2014. - Bernama