Pengedar dadah dicekup di lobi hotel

Shanmugamoorthy menunjukkan hasil rampasan pelbagai jenis dadah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini hari ini.
Shanmugamoorthy menunjukkan hasil rampasan pelbagai jenis dadah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang dipercayai bergiat aktif dalam aktiviti pengedaran dadah di sekitar kawasan Sentul diberkas di hadapan sebuah lobi hotel di Jalan Kepong di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sentul, S Shanmugamoorthy Chinnah berkata, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Sentul telah menahan lelaki berusia 45 tahun itu dalam operasi khas pada jam 10 malam.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek, kita telah merampas dadah jenis methamphetamine seberat 800 gram, ketamin seberat 600 gram, dadah jenis serbuk MDMA seberat 85 gram dan 80 biji pil erimin 5,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini hari ini.

Shanmugamoorthy berkata, siasatan lanjut ke atas suspek, polis telah menjalankan pemeriksaan ke atas dua premis di kawasan Pudu dan Segambut.

“Hasil pemeriksaan itu, kita merampas ketamin seberat 61.30 gram, metamphetamine seberat 5.43 gram dan dadah jenis serbuk MDMA seberat 123.37 gram, hasil keseluruhan rampasan dianggarkan RM 93,400,” katanya.

Menurutnya, suspek itu mempunyai empat rekod jenayah lampau berhubung kes dadah.

“Suspek dipercayai bergiat aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak tiga bulan lalu, kita masih menyiasat sama ada suspek mempunyai rangkaian dengan sindiket pengedaran dadah lain. Daripada jumlah rampasan itu, kita percaya ia boleh dibekalkan kepada kira-kira 3,425 penagih dadah,” katanya.

Suspek direman selama seminggu sehingga Ahad ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel Berkaitan: