ILB digesa bergiat aktif bangunkan modal insan

Sivakumar
Sivakumar
A
A
A

PUTRAJAYA - Lebih ramai pemain industri utama khususnya Badan Peneraju Industri (ILB) digesa untuk bergiat aktif dalam membangunkan modal insan dan menyokong dasar pelaksanaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, ia terutamanya dalam membantu graduan TVET tempatan dengan mengiktiraf kemahiran dimiliki mereka seterusnya berkongsi kepakaran yang ada.

"Pihak industri juga digesa supaya menjadi rakan kongsi strategik dengan turut mempromosikan TVET kepada masyarakat seperti menonjolkan peluang kerjaya dalam industri dan membenarkan pelajar membuat lawatan ke industri mereka," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian seminar Memperkasa Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) Melalui Penglibatan ILB di sini pada Selasa.

Teks ucapannya dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Dr Zaini Ujang.

Turut hadir, Ketua Pengarah Pembangunan Kemahiran KSM, Dr Mogamad Sulaiman.

Menurutnya, langkah tersebut dapat meningkatkan daya tarikan ramai, sekali gus menjadikan TVET pemangkin utama dalam melahirkan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi seperti mana negara maju yang lain.

"Saya ingin menggesa dan menggalakkan kesemua 26 ILB sedia ada mempromosi, membimbing dan menyelaras syarikat di bawah seliaan untuk memperkasakan pelaksanaan SLDN dalam pembangunan bakat mahir negara seperti mana yang diamalkan di negara maju seperti Australia dan United Kingdom," katanya.

Beliau berkata, kerjasama kukuh pihak industri dan institusi TVET melalui pelaksanaan SLDN amat signifikan dalam memastikan padanan antara penawaran dengan permintaan bagi membantu institusi TVET menyediakan kursus berteras industri berteknologi tinggi berdasarkan kehendak industri.

"Kerjasama itu dapat mewujudkan tenaga kerja pakar baharu dalam mempelajari teknologi terkini yang mempunyai kesan limpahan dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan teknologi di sektor lain seperti pertanian, pembinaan, kesihatan dan perkhidmatan.

"Ia juga dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap tenaga kerja asing," katanya.

ILB merupakan organisasi pemacu sesebuah sektor industri yang dilantik oleh Menteri Sumber Manusia bagi melaksanakan fungsi mengikut keperluan JPK.

Secara umumnya, peranan ILB adalah untuk memastikan sumber tenaga mahir berasaskan kemahiran mencukupi di pasaran buruh selain menjadi jurucakap kepada industri yang diwakili, menjadi penghubung dalam memberi maklum balas secara terus kepada JPK berkaitan keperluan bidang perkongsian pintar.

Sivakumar berkata, berdasarkan Laporan Statistik JPK sehingga 31 Mac lalu, SLDN telah berjaya mengeluarkan seramai 101,438 pemegang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) meliputi Tahap 1 hingga Tahap 3, Diploma Kemahiran Malaysia (DKM), Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) dan Penyata Pencapaian (PC) berasaskan kepada 21 sektor di bawah Malaysia Standard Industry Classification (MSIC).

"Pada tahun ini, program SLDN diperkukuh dengan peruntukan 50 juta ringgit untuk manfaat khusus industri kecil dan sederhana (SME) dalam pelaksanaan latihan kemahiran yang melibatkan lebih 8,000 orang perantis," ujarnya yang turut mensasarkan 50,000 graduan SLDN sehingga tahun 2026.