X

Kindly register in order to view this article
!

KPDNHEP Selangor lupus barang tiruan RM2.46 juta

Muhamad Zikril (dua dari kanan) ketika program pelupusan barang tiruan di stor penyimpanan ekshibit Selangor di Bukit Raja hari ini.
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor melupuskan pelbagai barangan tiruan yang menggunakan jenama popular bernilai RM2.46 juta.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, nilai tersebut membabitkan 173 kes sejak Januari lalu sehingga Oktober ini yang disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Hak Cipta 1987 dan Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993.

"Ini merupakan pelupusan kali ke-10 yang dilakukan pada tahun ini melibatkan 12 kes dengan nilai mencecah RM442,643.

"Kesemua kes terbabit sudah selesai menjalani proses mahkamah dan mendapat kebenaran untuk dilupuskan selepas mendapat perintah kebenaran pelupusan dari mahkamah atau pengawal akta yang berkenaan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Muhamad Zikril (kiri) ketika program pelupusan barang tiruan di stor penyimpanan ekshibit Selangor di Bukit Raja hari ini.
Muhamad Zikril (kiri) ketika program pelupusan barang tiruan di stor penyimpanan ekshibit Selangor di Bukit Raja hari ini.

Program pelupusan barang kes itu dilaksanakan di stor penyimpanan ekshibit Selangor di Bukit Raja dan turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri, Azizan Abdullah.

Beliau berkata, antara barang tiruan yang dilupuskan pada kali ini adalah beg tangan, dompet, tali pinggang, kasut, selipar, jersi, jam tangan, arak dan lain-lain.

Katanya, pihaknya memberi amaran kepada mana-mana peniaga untuk tidak terlibat menjual barangan tiruan bagi mengelak tindakan tegas dikenakan.

"Pengguna juga dinasihat untuk tidak membeli barang tiruan kerana selain produk yang kurang berkualiti, ia juga sebagai inisiatif melindungi harta intelek pemilik asal cap dagang," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus