Pensyarah rugi lebih RM2.5 juta diperdaya 'ejen insurans'

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Seorang pensyarah sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kerugian lebih RM2.5 juta selepas wang simpanan dalam dua akaun banknya lesap angkara sindiket penipuan menyamar sebagai ejen insurans.

Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, nasib malang menimpa wanita berusia 52 tahun itu bermula selepas dia menerima panggilan daripada individu memperkenalkan diri sebagai ejen sebuah syarikat insurans pada 22 Januari lalu.

Menurutnya, mangsa diperdaya kononnya terlibat dengan tuntutan insurans palsu dan penggubahan wang haram.

"Mangsa telah diarah membuka dua akaun bank baharu dan memindahkan semua wang simpanan ke dalam akaun itu untuk tujuan siasatan.

"Bimbang hukuman berat yang bakal dihadapi, mangsa akur dengan arahan suspek apabila membuka akaun bank seperti diarahkan dan memindahkan wang dari simpanan Tabung Haji, Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan simpanan lain ke dalam akaun tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Polis Kontinjen Pahang di sini pada Khamis.

Yahaya berkata, selepas semua wangnya dipindahkan, mangsa diarah memberi maklumat perbankan miliknya beserta gambar kad bank dan kata laluan.

"Mangsa menyedari telah ditipu apabila mendapati wang dalam akaun banknya lesap dan suspek gagal dihubungi bagi menuntut semula wang berjumlah lebih RM2.5 juta itu.

"Ekoran itu mangsa tampil membuat laporan.polis di sebuah balai polis di Kuantan pada Rabu," katanya.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya sekiranya menerima panggilan meragukan.

"Buat semakan terlebih dahulu dengan pihak polis atau agensi berkaitan sebelum berurusan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

"Semak nombor akaun dan nombor telefon yang diterima melalui pautan https://semakmule.rmp. gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi," katanya.

Rugi RM132,407, terpedaya dapat wang lumayan dalam tempoh enam jam

Sementara itu di Alor Gajah, Melaka gara-gara tertarik dengan keuntungan berlipat ganda dalam masa singkat, seorang pesara lelaki syarikat swasta mengalami kerugian RM132,407 selepas terpedaya dengan sindiket pelaburan wang

kripto dalam talian.

Mangsa berusia 57 tahun yang sebelum ini berjawatan sebagai penyelia syarikat berminat menyertai skim pelaburan kripto itu kerana ditawarkan keuntungan lumayan dalam tempoh enam jam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, mangsa melihat iklan pelaburan tersebut ketika melayari media sosial di rumahnya kira-kira jam 3 petang pada 2 Mei lalu.

Menurutnya, mangsa kemudian bersetuju untuk menyertai skim tersebut sebelum diminta membuat bayaran modal sebanyak RM1,000 seperti mana diarahkan.

"Mangsa seterusnya diarahkan membuat bayaran berikutnya ke dalam akaun bank yang diberikan untuk tujuan penambahan wang modal agar memperolehi keuntungan yang lebih besar," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.

Jelas beliau, mangsa kemudian telah membuat pemindahan wang peribadinya secara berperingkat ke dalam akaun bank tersebut hingga berjumlah RM132,407 dalam tempoh 3 Mei hingga 11 Mei lalu.

Kata beliau, namun sehingga sekarang mangsa tidak menerima sebarang keuntungan wang seperti yang dijanjikan dan menyedari dirinya ditipu sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Alor Gajah pada Selasa lalu.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, orang ramai dinasihat agar berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan mana-mana tawaran skim pelaburan secara dalam talian," ujar beliau lagi.