22 mangsa banjir dibenar pulang

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membantu memindahkan seorang mangsa banjir di Changkat Jong hari ini.
A
A

TAPAH - Dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Hulu Perak dan Batang Padang yang menempatkan 22 penduduk telah ditutup selepas banjir surut sepenuhnya hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Daerah (JPBBD) Batang Padang, Sharul Affandi Baharuddin memaklumkan, seramai 18 mangsa PPS Dewan Orang Ramai Sungai Klah Baru telah dibenarkan pulang.

“PPS ini ditutup sepenuhnya pada jam 12 tengah hari. Empat keluarga terlibat telah dibenarkan pulang hari ini.

“Terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat bagi memastikan kelancaran pentadbiran dan keselesaan mangsa semasa berada di pusat pemindahan,” katanya.

Dalam kejadian Jumaat lalu, sebanyak 45 rumah penduduk Kampung Sungai Klah ditenggelami air sedalam 1.2 meter selepas hujan lebat berterusan hampir lima jam.

Terdahulu, PPS Dewan Orang Ramai Kampung Pengkalan Ikan, Lenggong yang menempatkan empat mangsa termasuk dua kanak-kanak dari sebuah keluarga telah ditutup pada jam 9 pagi.

Sementara itu, seramai 219 mangsa daripada 61 keluarga di daerah Hilir Perak masih ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Jong, Teluk Intan.

Ia melibatkan penduduk dari Kampung Batu 9, Kampung Batu 7, Lorong Mesra Batu 7 1/2, Lorong Sidang Osman dan Batu 8.