Jabatan Perikanan Perlis respon keluhan nelayan tidak berlesen

Ismail Ibrahim
Ismail Ibrahim
A
A
A

KUALA PERLIS - Jabatan Perikanan Negeri Perlis memberi maklum balas berkaitan keluhan nelayan pesisir pantai di Kurong Tegar yang sudah pun 10 tahun menanti kelulusan lesen menangkap ikan.

Pengarah Perikanan Perlis, Ismail Ibrahim berkata, pihaknya telah melakukan siasatan berhubung perkara ini.

Katanya, Jabatan Perikanan Perlis telah meneliti latar belakang pengadu dan mendapati bahawa mereka tidak memenuhi kriteria dan syarat utama.

"Mereka bukanlah nelayan sepenuh masa dan mempunyai pendapatan secara tetap seperti pencen dan juga pendapatan lain," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail turut meminta pengadu dan juga nelayan lain berhubung terus dengan Pejabat Perikanan daerah dan negeri bagi menjelaskan semua perkara yang berbangkit.

Tambah Ismail, sebelum meluluskan lesen, jabatan perlu membuat siasatan awal berhubung latar belakang pemohon daripada komuniti setempat serta pemimpin masyarakat di kawasan berkenaan.

"Proses temuduga juga akan dijalankan dan panel penemuduga yang dilantik

terdiri daripada ahli Jabatan Perikanan Negeri Perlis; Lembaga Kemajuan Ikan Negeri Perlis dan Persatuan Nelayan Kawasan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Ismail, jawatankuasa ini akan membuat penilaian ke atas pemohon dan menyediakan pilihan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Jabatan.

"Penilaian tersebut juga akan mengambil kira perkara berkaitan sama ada pemohon tersebut nelayan sepenuh masa ataupun sambilan," katanya.

Pada 15 Oktober lalu Sinar Harian melaporkan berkaitan masalah nelayan yang hampir 10 tahun tidak mempunyai lesen menangkap ikan dan terpaksa mengambil risiko sendiri untuk turun ke laut.