Nak jimat punya pasal!

Dalam serbuan jam 2 petang itu mendapati kesemua pekerja warga asing di kilang pakaian berkenaan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.
Dalam serbuan jam 2 petang itu mendapati kesemua pekerja warga asing di kilang pakaian berkenaan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.
A
A
A

SEBERANG JAYA - Hanya kerana mahu jimatkan kos, seorang pengusaha kilang pakaian tidak mengendahkan peraturan dan undang-undang apabila menggaji pekerja asing tanpa permit yang sah.

Bagaimanapun perbuatannya terbongkar apabila Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Pulau Pinang membuat serbuan di kilang yang terletak di Taman Sinar, Nibong Tebal petang semalam dan menahan 11 pendatang asing tanpa izin (PATI).

Dalam serbuan jam 2 petang itu mendapati kesemua pekerja warga asing di kilang terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

Difahamkan, pemilik kilang itu juga tidak membenarkan semua pekerja warga asing berkenaan untuk keluar sesuka hati kerana mahu mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

Antara warga asing yang ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.
Antara warga asing yang ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

Pengarah Imigresen negeri, Muhamad Husni Mahmud berkata, seramai 20 pekerja terdiri daripada sembilan warga tempatan dan 11 warga asing diperiksa dalam serbuan berkenaan.

"Mereka yang ditahan ini terdiri daripada tiga lelaki dan lapan wanita masing-masing berusia 20 hingga 35 tahun dan berasal dari Bangladesh, Myanmar, Kemboja dan Vietnam.

"Selain itu, kita turut menahan majikan yang menggajikan semua pekerja warga asing terbabit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pihaknya tidak menolak kemungkinan semua PATI terbabit diambil bekerja bagi menjimatkan kos kerana mereka dikatakan dibayar upah lebih murah.

Katanya, kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Pulau Pinang untuk proses dokumentasi sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Warga Asing di Juru.