9 ditahan jual mercun RM30,000 tanpa permit

Sembilan individu yang ditahan kerana menjual mercun tanpa permit dalam serbuan sekitar Kota Tinggi.
Sembilan individu yang ditahan kerana menjual mercun tanpa permit dalam serbuan sekitar Kota Tinggi.
A
A
A

KOTA TINGGI - Seramai sembilan individu termasuk dua warga Indonesia ditahan kerana menjual mercun tanpa permit dalam beberapa serbuan yang dijalankan sekitar daerah ini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, pelbagai jenis mercun dianggarkan bernilai RM30,000 dirampas dalam serbuan antara jam 8.30 hingga 11.30 malam.

"Kesemua yang ditahan termasuk seorang wanita berusia 22 hingga 50 tahun itu, didapati tidak mempunyai permit untuk menjual mercun dan bunga api daripada pihak berkuasa.

"Semakan rekod jenayah lampau mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod lampau kes jenayah dan seorang berstatus orang dikehendaki bersabit kes jenayah komersial," katanya melalui satu kenyataan pada Ahad.

Menurut Hussin, kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan dua lelaki warga Indonesia yang ditahan turut disiasat di bawah Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63.