UM tidak tahan transkrip atau tarik balik ijazah Yan Ke

21
21
A
A
A

SHAH ALAM - Universiti Malaya (UM) menegaskan pihaknya tidak menarik balik ijazah atau menahan skrol dan transkrip graduan Fakulti Kejuruteraan Awam, Wong Yan Ke yang menunjukkan bantahan di atas pentas semasa Istiadat Konvokesyen UM ke-59 berlangsung pada 14 Oktober lalu.

Pengerusi Lembaga Pengarah UM, Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen Tengku Ibrahim berkata, pengedaran skrol dan transkrip akademik secara berpusat dilakukan mulai 12 hingga 20 Oktober lalu.

"Graduan terbabit juga sudah dimaklumkan bahawa transkrip akademiknya boleh diambil pada bila-bila masa bermula 18 Oktober lalu.

"Graduan juga boleh mengakses dan mencetak skrol atas talian melalui sistem graduand.um.edu.my mulai 21 Oktober ini," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Terdahulu, Yan Ke menerusi satu video berdurasi enam minit 32 saat pada Rabu lalu memaklumkan masih belum menerima transkrip akademik miliknya biarpun sudah mengembalikan pakaian istiadat konvokesyen termasuk jubah.

Dalam pada itu, Tengku Mohd Azzman Shariffadeen memberitahu UM juga memandang serius akan tuduhan dan laporan negatif yang bertentangan dengan prinsip-prinsip yang didukung oleh universiti sebagai sebuah institusi pengajian tinggi.

Beliau berkata, UM merupakan sebuah institusi pengajian tinggi yang sentiasa mendukung dan memartabatkan kebebasan akademik dan keintelektualan serta bersifat neutral atau tidak berpihak.

"Dalam konteks ini, matlamat pendidikan bukan hanya untuk menyampaikan ilmu tetapi juga membina sahsiah dan keperibadian seseorang individu agar mencapai kecemerlangan melalui pemindahan ilmu serta penerapan nilai-nilai murni.

Artikel Berkaitan:

"Untuk mencapai matlamat itu, tanggungjawab bukan saja perlu dipikul oleh universiti malah mahasiswa agar potensi diri mereka dapat dibina ke tahap paling optimum. Kita hormati hak dan prinsip kebebasan bersuara setiap individu yang bernaung di bawah universiti, malah mereka diberi ruang yang luas untuk menyuarakan pendapat dalam apa jua aspek," katanya.

Namun katanya, dalam melaksanakan kebebasan ini, hak orang lain juga perlu dihormati dan tindakan Yan Ke baru-baru ini adalah perbuatan yang tidak menghormati graduan lain yang turut diraikan serta ibu bapa dan tetamu yang hadir.

"Kita kesal dengan kejadian yang berlaku dan memohon maaf kepada graduan, ibu bapa dan tetamu jemputan atas gangguan pada majlis tersebut," katanya.

Sebelum itu, Yan Ke mencetuskan kontroversi apabila bertindak membawa plakad di pentas majlis konvokesyen bagi menuntut peletakan jawatan Naib Canselor UM, Datuk Dr Abdul Rahim Hashim dipercayai susulan ucapan Abdul Rahim pada Kongres Maruah Melayu pada 6 Oktober lalu.