DBKL akan tarik balik lesen perniagaan disalah guna - Anwar

Anwar beramah mesra bersama seorang peniaga pada Majlis Temu Mesra Perdana Menteri di Pusat Penjaja MADANI Jalan Tuanku Abdul Rahman Lestari Niaga@Kuala Lumpur di Chow Kit pada Khamis - Foto Bernama
Anwar beramah mesra bersama seorang peniaga pada Majlis Temu Mesra Perdana Menteri di Pusat Penjaja MADANI Jalan Tuanku Abdul Rahman Lestari Niaga@Kuala Lumpur di Chow Kit pada Khamis - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menarik balik lesen perniagaan penjaja yang memberikan lesen berkenaan kepada pihak lain termasuk warga asing.

Beliau berkata, pihaknya bersama DBKL sedang merangka kaedah bagi memastikan peraturan tersebut dipatuhi, dalam memastikan ia memberi manfaat kepada peniaga tempatan.

"Saya punya rencana dengan Datuk Bandar (Kuala Lumpur) dan Pengarah (Pengurusan Tertinggi DBKL), untuk cari jalan (bagi memastikan penjaja) ikut peraturan dan lesen diberikan kepada penduduk tempatan.

"Kalau dia (penjaja) serah kepada yang lain, kita akan tarik balik (lesen),” katanya kepada pemberita selepas sesi Temu Mesra Perdana Menteri di Pusat Penjaja Madani di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada Khamis.

Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Kamarulzaman Mat Salleh.

Sementara itu, Perdana Menteri turut mengulangi iltizam untuk menaik taraf fasiliti dan imej ibu kota termasuk gerai penjaja, demi keselesaan rakyat.

"Ada beberapa kawasan pembersihan air, (saliran) parit, dan bumbung, yang akan kita perbaiki segera pada tahun ini juga," katanya.

Sebelum ini, Anwar berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) terutamanya di kawasan bandar, perlu menyediakan kemudahan infrastruktur yang selesa kepada penjaja dan peniaga kecil, agar mereka dapat menjalankan perniagaan dengan suasana kondusif.

Beliau berkata kemudahan itu perlu disediakan, memandangkan kumpulan berkenaan juga turut menjadi penyumbang kepada ekonomi negara, menerusi perniagaan yang dijalankan.

Sebelum itu, Anwar meluangkan masa kira-kira 40 minit meninjau, beramah mesra dan bersarapan, bersama penjaja di Pusat Penjaja Madani di Jalan Tuanku Abdul Rahman yang telah dinaik taraf menerusi inisiatif Lestari Niaga @ Kuala Lumpur.

Inisiatif tersebut bertujuan menaik taraf fasiliti gerai peniaga kecil dan penjaja sedia ada di Wilayah Persekutuan, kepada yang lebih kondusif dan selesa.

Pusat penjaja yang dahulunya dikenali dengan nama Pusat Penjaja Jalan Tuanku Abdul Rahman itu dibina pada 1974 dan mempunyai 20 unit gerai, telah dinaik taraf bermula Mac dan siap pada April 2023.

Antara kerja naik taraf dilaksanakan ialah pertukaran dan penambahbaikan bumbung, pendawaian semula, penggantian semula kipas dan lampu, serta penggantian paip pecah.