X

Kindly register in order to view this article
!

Lebih 80,000 rakyat Malaysia bankrap

Liew Vui Keong - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 80,625 kes bankrap direkodkan Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) sejak 2015 sehingga Ogos lepas, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Datuk Liew Vui Keong berkata daripada jumlah itu, 7,871 kes direkodkan bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

“Sebanyak 18,457 kes kebankrapan direkodkan pada 2015; 19,588 kes pada 2016; 18,227 kes pada 2017 dan 16,482 kes tahun lepas,” katanya ketika sesi pertanyaan menteri.

Beliau menjawab soalan Willie Anak Mongin (PH-Puncak Borneo) yang ingin tahu jumlah rakyat Malaysia diisytiharkan muflis dan strategi kerajaan untuk membantu mereka termasuk program celik kewangan.

Mengulas lanjut, Vui Keong berkata, kerajaan melaksanakan pelbagai usaha bagi mengurangkan kadar kes kebankrapan di negara ini, antaranya melalui program MdI bagi mewujudkan kesedaran masyarakat tentang isu muflis seperti program khidmat bantuan.

Selain itu, Vuie Keong berkata, kerajaan juga melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) di bawah Bank Negara Malaysia mengadakan program antaranya melibatkan perancangan kewangan ke arah menangani masalah pengurusan kewangan di peringkat pra kebankrapan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus