Mukhriz pertahan Syed Saddiq

Mukhriz (tengah, depan) bergambar bersama penerima watikah pelantikan program ‘Future Leaders’ di Wisma Darul Aman.
Mukhriz (tengah, depan) bergambar bersama penerima watikah pelantikan program ‘Future Leaders’ di Wisma Darul Aman.
A
A
A

ALOR SETAR - Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyokong tindakan Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyelar tindakan perwakilan membangkitkan isu pemberian kontrak dan jawatan pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu ke-2, baru-baru ini.

Menurutnya, parti itu bukan sahaja harus pertahankan kepentingan integriti dalam pentadbiran mahupun parti malah tidak bertepatan untuk mana-mana pimpinan mencadangkan perkara sebegitu kerana ia jelas melanggar pendirian parti.

“Saya rasa adalah tidak sesuai mana-mana pimpinan cadangkan bahawa kita gunakan kedudukan dalam kerajaan bagi tujuan pemberian kontrak kepada ketua bahagian. Ini bukan tanggungjawab kita, malah melanggar harapan rakyat kepada kita ketika menubuhkan Bersatu.

“Pendirian parti berhubung isu integriti harus diutamakan selepas PH berjaya membentuk kerajaan. Tujuan kita adalah mahu wujudkan budaya politik baru,” katanya selepas penyerahan watikah pelantikan program ‘Future Leaders’ di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Mukhriz turut menepis dakwaan parti itu sudah diresapi budaya negatif yang dibawa bekas ahli Umno yang menyertai parti itu.

“Pengerusi, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah nyatakan, kepimpinan Umno yang mahu sertai Bersatu tidak boleh pegang jawatan sehingga PRU15.

"Kebimbangan Tun ini mungkin kerana ada budaya lama Umno menyerap masuk dalam Bersatu, elak beri kesan tak baik pada parti, apatah lagi ahli parti sendiri,” katanya.

Menurutnya, sudah semestinya ahli Bersatu menolak sebarang amalan tidak baik yang boleh melemahkan parti dan menjejaskan reputasi.

Artikel Berkaitan:

“Apa jua budaya beri impak negatif seperti salah guna kuasa dan penyelewengan sudah tentu kita tolak. Memang sejak awal lagi, kita kekang budaya negatif itu daripada meresap dalam parti,” katanya.

Mukhriz turut meminta supaya isu berkenaan tidak lagi dipolemikkan sehingga adanya desakan kepada Naib Presiden, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman meletakkan jawatan gara-gara mencadangkan ketua bahagian dan ketua cawangan Bersatu diberikan projek kerajaan.

“Kenyataan itu dibuat beliau ketika penggulungan, tidak bolehlah anggap ia sebagai dasar parti. Ia juga bukan pendirian parti.

“Kita terima pandangan berbeza, ia lebih baik berbanding parti lama yang sejak awal gariskan ada isu tertentu tak boleh dibangkitkan dalam perhimpunan agung. Lebih elok kita terbuka dan kritik secara membina, selain gunakan saluran betul,” katanya.

Menurutnya, parti itu tidak menyekat mana-mana pihak untuk menyuarakan pandangan termasuk sayap parti bebas untuk bersuara.

“Kita terima baik semua teguran untuk kebaikan parti. Bagi saya, tiada masalah jika kita katakan ada pandangan yang kita tidak setuju berhubung kenyataan oleh pihak tertentu,” katanya.

Sebelum ini, terdapat dakwaan ketua-ketua bahagian sedang membincangkan usaha menyingkirkan Syed Saddiq kerana dikatakan tidak senang dengan ketegasan beliau menyelar tindakan perwakilan menjadikan isu pemberian kontrak dan jawatan sebagai tajuk perbahasan pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu Ke-2.

Isu itu menjadi kecoh apabila Naib Presiden Bersatu, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mencadangkan ketua bahagian dan ketua cawangan parti diberikan projek kerajaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!