Isu LCS: 'Dulu janji lain, kini janji lain' - Syed Saddiq

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menempelak kenyataan Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung gesaan supaya kerajaan menegurnya yang didakwa membawa usul 'mengelirukan orang ramai' mengenai projek kapal tempur pesisir (LCS) di Parlimen.

Beliau yang juga Presiden Ikatan Demokratif Malaysia (Muda) itu berkata, perasuah LCS tidak diambil tindakan malah sebaliknya berlaku.

"Wakil rakyat yang mahu bahaskan isu itu pula dikenakan tindakan.

"Dulu janji lain, kini janji lain. Saya dan Muda akan terus fokus suarakan isu-isu rakyat," katanya menerusi laman Facebook pada Isnin.

Semalam, Pemuda PKR dalam satu kenyataan menuduh Syed Saddiq dan Muda terus menerus menyebarkan maklumat salah dan separa benar yang memburukkan kerajaan.

Sayap PKR itu berkata, perkara tersebut perlu diteliti dan diambil kira dalam penilaian permohonan Muda untuk menyertai Pakatan Harapan (PH).

Minggu lalu, Syed Saddiq memberitahu Dewan Rakyat cadangan usulnya ditolak oleh pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat atas alasan ianya tidak melibatkan kepentingan awam dan bukan juga satu bentuk keperluan yang mendesak.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq memberitahu penjelasan mengenai skandal tersebut tidak boleh dielakkan kerana rata-rata rakyat Malaysia bijak menilai setiap isu yang timbul.