Pegawai kanan jabatan kerajaan ditahan salah guna kuasa

SPRM
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang pegawai kanan di sebuah jabatan kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu kerana disyaki salah guna kuasa sejak 2016 hingga tahun ini.

Lelaki berusia 30-an itu ditahan jam 1 petang di kediamannya di sini kelmarin.

Menurut sumber, pegawai terbabit dipercayai menyalahgunakan kuasanya ketika diberi kepercayaan menguruskan wang jabatan bernilai hampir RM12,000.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek gagal mengemukakan bukti wang berkenaan ada dimasukkan ke dalam akaun jabatan seperti dipertanggungjawabkan kepadanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Mohd Zaki Hassan ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan tangkapan pegawai terbabit.

Menurutnya, suspek kini direman tujuh hari bermula kelmarin untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana salah guna kuasa.