Undang-undang dadah

A
A
A

MELIHATKAN anak guam saya sujud syukur dalam mahkamah selepas hakim memutuskan bahawa beliau tidak bersalah dan dibebaskan daripada pertuduhan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB), saya berasa amat terharu dan bersyukur.

Ahli keluarga termasuk anak-anak dan isterinya menangis serta sama-sama sujud syukur dalam mahkamah. Satu momen yang tidak akan saya lupakan.

Di bawah Seksyen 39B ADB, jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman mati mandatori.

Biarpun hukuman mati kini sedang berada pada peringkat moratorium (dibekukan), tetapi ini tidak menjanjikan bahawa perintah moratorium tersebut tidak akan ditarik semula pada bila-bila masa oleh kerajaan.

Sebenarnya, apa yang kita perlu faham mengenai undang-undang dadah di Malaysia?

Di bawah undang-undang jenayah dadah ada tiga jenis kesalahan yang perlu difahami iaitu: (i) untuk kegunaan sendiri, (ii) pemilikan dadah dan (iii) pengedaran dadah. Antara ketiga-tiga jenis kesalahan ini, kesalahan memiliki dan mengedar dadah merupakan kesalahan paling serius dan boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Baru-baru ini kerajaan mengumumkan bahawa pihak kerajaan sedang mengkaji mengenai kemungkinan untuk mendekriminalisasi (bukan lagi kesalahan jenayah) kesalahan menggunakan dadah secara peribadi pada jumlah yang kecil.

Saya bersetuju dengan pandangan kerajaan hari ini bahawa ketagihan dadah perlu dirawat dan bukannya dihukum semata-mata.

Artikel Berkaitan:

Namun, apa yang kita perlu ambil serius mengenai jenayah dadah ini adalah bagaimana pihak polis dan pendakwaan melihat sama ada dadah yang dimiliki orang kena tuduh (OKT) perlu didakwa sama ada di bawah jenis kegunaan sendiri, pemilikan atau pengedaran?

Jawapannya mudah. Polis dan pendakwaan akan melihat berat dadah yang dimiliki OKT ketika tangkapan dibuat, serta satu prinsip dipanggil sebagai anggapan (presumption).

Contohnya, Seksyen 37 ADB meletakkan had berat pemilikan ganja adalah maksimum 200 gram.

Jadi, jika berat ganja lebih tinggi daripada yang ditetapkan, polis dan pendakwaan boleh beranggapan bahawa OKT berniat mengedar ganja dan mendakwa OKT dengan kesalahan mengedar ganja walaupun pada dasarnya OKT tiada niat untuk menjualnya.

Bukti

Dalam anggapan pemilikan, pihak polis dan pendakwaan hanya perlu membuktikan kepada mahkamah bahawa dadah tersebut berada dalam pegangan dan kawalan OKT, lantas menunjukkan bahawa OKT mempunyai pengetahuan mengenai dadah yang dimilikinya.

Sebagai contoh, jika OKT ditahan dan diperiksa oleh polis dan pada waktu tersebut OKT sedang memegang beg rakan beliau yang mengandungi dadah.

Walaupun beg tersebut bukan beg OKT dan OKT langsung tidak mengetahui mengenai kandungan beg tersebut, prinsip anggapan itu akan tergunapakai bagi menunjukkan bahawa OKT memiliki dadah.

Ia kelihatan seperti tidak adil, tetapi begitulah prinsip yang masih tergunapakai hari ini dalam pendakwaan kes dadah.

Tetapi itu tidak bermaksud OKT tidak boleh menepis atau menafikan anggapan tersebut.

Sudah tentu peguam OKT perlu menafikan dan melawan anggapan itu dengan strategi dan hujahan tertentu. Serahkan tugasan itu kepada peguam yang bertanggungjawab untuk membantu OKT.

Jika seseorang ditangkap dan didakwa di bawah ADB, kebiasaannya jaminan tidak akan dibenarkan oleh mahkamah, terutamanya melibatkan hukuman yang berat seperti hukuman di bawah Seksyen 39B ADB.

Malah, jika hukuman yang bakal dikenakan melebihi lima tahun, biasanya jaminan tidak akan dibenarkan.

Apabila anda ditahan oleh polis dan disiasat, anda berhak untuk berdiam diri ketika siasatan dan tidak memberikan sebarang kenyataan, terutamanya tanpa kehadiran peguam.

Dan jika anda rasa anda tidak bersalah, ceritakan hal yang sebenarnya kepada polis ketika siasatan.

Rencana ini bukan bertujuan sebagai khidmat nasihat guaman, tetapi merupakan satu perkongsian bagi menjana kesedaran dalam kalangan awam mengenai undang-undang dadah di negara ini secara ringkas.

Dapatkan khidmat nasihat guaman daripada mana-mana peguam yang berpengalaman jika anda atau orang di sekeliling anda didakwa di bawah ADB atau apa-apa juga kesalahan jenayah, kerana setiap orang berhak dan perlu mendapat hak pembelaan sewajarnya.

*Haeme Hashim ialah seorang peguam