Belanjawan 2020 tumpu pacu pertumbuhan ekonomi, rapat jurang

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Belanjawan 2020 yang dibentangkan pada Jumaat minggu lepas pada dasarnya menumpukan kepada cara-cara untuk memacu pembangunan ekonomi negara dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

Pengarah Pejabat Belanjawan Negara Kementerian Kewangan, Johan Mahmood Merican berkata, kerajaan telah mengambil langkah-langkah awal untuk memastikan momentum pertumbuhan negara akan berterusan.

“Dari segi wawasan Kemakmuran Bersama, belanjawan ini memberi penekanan kepada merapatkan jurang sama ada dalam kadar pekerjaan dalam kalangan golongan muda, pembangunan di Sabah dan Sarawak, pembangunan luar bandar serta membantu mereka yang memerlukan seperti Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), golongan wanita dan orang kurang upaya, antara lainnya.

“Kita melihat penerimaan belanjawan ini adalah baik setakat ini kerana ia menyeluruh dalam perspektif memastikan pertumbuhan dan merapatkan jurang di Malaysia,” katanya kepada pemberita pada Perbahasan Pasca Belanjawan 2020 yang dianjurkan oleh Persatuan Ekonomi Malaysia di sini hari ini.

Johan Mahmood juga berkata, langkah-langkah yang diumumkan seperti cukai, sebagai contohnya, juga dirangka untuk menyokong strategi memastikan pertumbuhan ekonomi, iaitu menerusi insentif khusus, pelaburan, cukai keuntungan hartanah (RPGT), potongan cukai tambahan untuk menyokong wanita kembali bekerja dan sebagainya.

Mengenai usaha melahirkan lebih banyak ‘syarikat unicorn’ (syarikat pemula niaga yang bernilai lebih daripada satu bilion) di negara ini, beliau berkata ia adalah sasaran jangka panjang tetapi butiran lebih terperinci akan digariskan semasa kerajaan melancarkan Rancangan Malaysia ke-12 tahun depan.

Sementara itu, ahli panel Dr Veerinderjeet Singh mencadangkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diperluaskan secara perlahan-lahan kepada lebih banyak barang dan perkhidmatan dengan pengecualian bagi barang keperluan.

“Secara amnya SST merangkumi kira-kira 38 peratus daripada barang dan perkhidmatan manakala Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) meliputi hampir 70 peratus.

Artikel Berkaitan:

“Terdapat cara dan kaedah untuk sebenarnya menaikkan, bagi memadankan hasil di bawah SST (sekarang RM22 bilion) kepada GST (RM47 bilion)...jika kita boleh menggandakannya, dengan syarat terdapat penguatkuasaan dan pendidikan,” kata Veerinderjeet, yang juga merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Axcelasia Inc serta ahli Jawatankuasa Pembaharuan Cukai.

Satu daripada caranya adalah dengan menggunakan peranti teknologi canggih untuk mengesan setiap urus niaga item, yang sama seperti digunakan semasa pelaksanaan GST, katanya.

Mengenai perkembangan lain, pakar ekonomi negara Bank Dunia Shakira Teh Sharifuddin berkata, Malaysia diunjur mencapai pertumbuhan 4.6 peratus tahun ini, 2020 dan 2021 berbanding unjuran kerajaan pada 4.7 peratus bagi 2019 dan 4.8 peratus pada 2020.

Ini, katanya, akan disokong oleh penggunaan swasta yang akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan.

“Bagaimanapun kita juga perlu berhati-hati dengan cabaran daripada persekitaran luaran,” katanya. - Bernama