Sidang Kemuncak ASEAN tumpu perpaduan, integrasi ekonomi

Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 membuka tirainya secara rasmi di bandar Labuan Bajo, di timur Indonesia pada Rabu. - Foto Xinhua
Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 membuka tirainya secara rasmi di bandar Labuan Bajo, di timur Indonesia pada Rabu. - Foto Xinhua
A
A
A

LABUAN BAJO - Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 membuka tirainya secara rasmi di bandar Labuan Bajo, di timur Indonesia pada Rabu.

Selaku Pengerusi ASEAN, Presiden Indonesia Joko Widodo menggesa perpaduan ASEAN dan integrasi ekonomi bagi membolehkan badan serantau itu memainkan peranan lebih penting dalam membawa keamanan dan pembangunan serantau.

"Pada masa depan, ASEAN mesti mengukuhkan integrasi ekonominya, memperkasa kerjasama inklusif, termasuk pelaksanaan RCEP (Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau) selain menguatkan sektor kesihatan, makanan dan tenaga serta mengekalkan kestabilan kewangan,” kata beliau, lapor Xinhua.

Sidang kemuncak itu dijangka menghasilkan hala tuju untuk keahlian penuh Timor-Leste.

November lalu, ASEAN pada dasarnya bersetuju menerima Timor-Leste sebagai anggotanya yang ke-11.

Bertemakan "ASEAN Matters: Epicentrum of Growth”, Indonesia menyuarakan harapan badan serantau itu akan kekal sebagai pusat pertumbuhan serantau dan global.

Selaku pengerusi, Indonesia juga mahu menumpukan usaha untuk menjadikan ASEAN sebuah rantau ekonomi yang berkembang pesat, inklusif dan mampan dalam jangka panjang.

Pada awal April, Bank Pembangunan Asia meramalkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Asia akan berkembang sebanyak 4.8 peratus tahun ini dan pada 2024, meningkat daripada 4.2 peratus pada 2022.

Pertumbuhan di rantau Asia Pasifik juga diramal kekal berdaya tahan.

Pada Isnin lalu, jurucakap kementerian luar, Teuku Faizasyah dilaporkan berkata untuk Sidang Kemuncak itu, Indonesia telah menyediakan visi penting iaitu ASEAN 2045 serta proses perbincangan mengenai draf Deklarasi Pemimpin ASEAN untuk memperkukuh kapasiti dan keberkesanan institusi ASEAN.

ASEAN yang diasaskan pada tahun 1967 dianggotai Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. - Bernama