Malaysia boleh bertahan, pertumbuhan ekonomi China perlahan - BNM

Abdul Rasheed semasa sidang media bersama BNM dan DOSM mengenai prestasi KDNK suku kedua 2023 Malaysia di Sasana Kijang, pada Jumaat.
Abdul Rasheed semasa sidang media bersama BNM dan DOSM mengenai prestasi KDNK suku kedua 2023 Malaysia di Sasana Kijang, pada Jumaat.
A
A
A

KEPELBAGAIAN ekonomi Malaysia membolehkan negara mendepani risiko daripada pertumbuhan perlahan ekonomi China kerana kita tidak terlalu bergantung kepada hanya satu rakan dagang atau industri tertentu, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour.

Beliau berkata, walaupun China adalah rakan dagang kedua terbesar Malaysia, negara itu hanya menyumbang 13.6 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia.

"Meskipun pembukaan semula China masih terus menyokong ekonomi global, kita menyedari bahawa kadar pemulihannya perlahan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

"Bagaimanapun, Malaysia memiliki kepelbagaian ekonomi dari segi produk dan rakan dagang, justeru ia mampu menampung impak daripada pertumbuhan perlahan ekonomi China,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan angka keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia bagi Suku Kedua 2023, di sini, pada Jumaat.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.

"Sebagai sebuah ekonomi terbuka yang kecil, Malaysia terjejas oleh kelembapan permintaan global. Seperti ekonomi serantau lain, eksport Malaysia juga merosot pada Suku Kedua 2023.

"Ini disebabkan terutamanya oleh pengeluaran lemah barangan perkilangan di tengah-tengah kemerosotan kitaran teknologi global dan harga komoditi yang lebih rendah,” kata Abdul Rasheed.

Beliau juga berkata, jualan semikonduktor global, yang mencatatkan penurunan, menunjukkan petanda sedang mencecah tahap terendahnya.

Artikel Berkaitan:

Secara keseluruhannya, pertumbuhan ekonomi global adalah perlahan tahun ini, disebabkan terutamanya oleh peningkatan tekanan kos, kadar faedah tinggi serta kadar barangan yang lebih lemah.

"Pertumbuhan global dijangka berada di bawah purata jangka panjang tetapi kami tidak menjangkakan kemelesetan mutlak,” kata Abdul Rasheed.

Bagaimanapun, katanya, pertumbuhan ekonomi Malaysia terus disokong oleh daya tahan permintaan domestik dan keadaan pasaran buruh yang kukuh.

Menurutnya, lebihan akaun semasa, rizab yang mencukupi dan kadar pertukaran akan membantu Malaysia menyerap kejutan luaran.

Beliau berkata, pada Separuh Kedua 2023, pertumbuhan KDNK negara perlu berada pada purata 3.7 peratus untuk Malaysia mencapai pertumbuhan 4.0 peratus tahun ini.

"Kita melihat pertumbuhan dijangka berterusan dan didorong oleh pengembangan dalam kapasiti permintaan domestik di tengah-tengah kelemahan permintaan luaran.

"Ini disokong oleh beberapa faktor termasuk keadaan pasaran buruh yang semakin bertambah baik, kemajuan berterusan pelbagai projek pelaburan oleh sektor swasta dan awam serta aktiviti pelancongan yang rancak," katanya.

Mengenai pasaran buruh, BNM menjangkakan guna tenaga meningkat 2.4 peratus tahun ini manakala kadar pengangguran, yang berada pada 3.4 peratus pada Jun, akan terus menurun.

Dari segi penawaran, beliau berkata, pertumbuhan akan terus didorong oleh sektor perkhidmatan dan pembinaan, dan BNM menjangka jumlah perdagangan bertambah baik menjelang akhir 2023 dan berterusan sehingga 2024.

Mengenai perkembangan lain, Abdul Rasheed berkata, terdapat konsensus umum pelaksanaan subsidi bersasar daripada subsidi menyeluruh bagi menangani ketirisan dan memastikan subsidi sampai kepada penerima yang sepatutnya.

"Sebarang pelarasan subsidi juga perlu mengambil kira risiko harga tinggi sebagai sebahagian daripada barangan dan perkhidmatan,” katanya. - Bernama