Defisit belanjawan negeri meningkat: MB Kelantan

Naik lebih 30 peratus menjadikan jumlah RM46.07 juta

Ahmad Yakob
Ahmad Yakob
A
A
A

KOTA BHARU – Belanjawan 2020 Kelantan menyaksikan defisit meningkat sebanyak RM11 juta (31.36 peratus) menjadikan jumlahnya RM46.07 juta berbanding RM35.07 juta tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dalam pembentangan bajet negeri di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini memberitahu, walaupun setiap tahun anggaran belanjawan negeri mencatatkan defisit, namun untuk dua tahun berturut-turut, kerajaan negeri telah mencatatkan perbelanjaan sebenar lebihan atau surplus iaitu RM38.2 juta untuk tahun 2017 dan RM40.4 juta untuk 2018.

"Belanjawan kali ini memperuntukkan sejumlah RM1.1 bilion sebagai perancangan berbelanja secara berhemat.

“Prestasi kewangan negeri pada 2019 juga dijangka dapat mengurangkan jumlah defisit semasa hasil daripada kerajaan negeri berbelanja secara berhemat dan mengikut keutamaan kerajaan.

“Selaras dengan tema Sederap Usaha Tertuai Sejahtera, maka belanjawan kali ini akan memberi tumpuan menambah baik tiga teras utama iaitu keberkatan, kemakmuran dan kebajikan,” katanya.

Menurutnya, anggaran hasil negeri pada 2020 dijangka diperoleh sebanyak RM748.71 juta yang meliputi hasil cukai sebanyak RM202.22 juta, hasil bukan cukai sebanyak RM386.84 juta dan terimaan bukan hasil sebanyak RM159.65 juta.

Beliau berkata, jumlah tersebut menunjukkan berlakunya peningkatan dalam hasil sebanyak RM5.01 juta berbanding anggaran hasil tahun 2019 sebanyak RM743.71 juta manakala hasil tanah kekal sebagai penyumbang terbesar dengan jumlah RM309.39 juta daripada keseluruhan jumlah hasil.

“Kerajaan juga mensasarkan tahun depan peningkatan jumlah kutipan tunggakan premium dan cukai tanah sebanyak RM21.40 juta dengan hasil hutan menjadi penyumbang ketiga terbesar berjumlah RM123 juta daripada jumlah keseluruhan jumlah hasil dan hasil perlombongan, dijangka menyumbang sebanyak RM41.45 juta daripada jumlah hasil," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, anggaran perbelanjaan mengurus tahun depan dijangka sebanyak RM794.78 juta berbanding RM778.78 juta tahun ini iaitu meningkat sebanyak RM16 juta merangkumi perbelanjaan tanggungan sebanyak RM42.65 juta dan perbelanjaan bekalan RM752.13 juta

“RM27.4 juta daripada perbelanjaan tanggungan diperuntukkan untuk membayar hutang kerajaan negeri kepada kerajaan Persekutuan.

“Jumlah ini adalah sama dengan jumlah pada tahun ini. Ini menunjukkan bahawa kerajaan Kelantan sentiasa konsisten dalam membayar hutang kepada kerajaan persekutuan mengikut kemampuan aliran tunai kerajaan negeri,” katanya.