Daim berjaya miliki PhD selepas 11 tahun

Sultan Nazrin berkenan menyampaikan sijil Ijazah Kedoktoran Falsafah Sastera dan Sains Sosial kepada Tun Daim Zainuddin pada Majlis Istiadat Konvokesyen UM ke-59 di Kuala Lumpur. -Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
Sultan Nazrin berkenan menyampaikan sijil Ijazah Kedoktoran Falsafah Sastera dan Sains Sosial kepada Tun Daim Zainuddin pada Majlis Istiadat Konvokesyen UM ke-59 di Kuala Lumpur. -Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - "Daripada berjalan kini bertongkat dan akhirnya saya berjaya menamatkan pengajian Ijazah Kedoktoran (PhD) selepas 11 tahun berjuang," kata bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Dr Daim Zainuddin.

Daim, 81, menerima ijazah kehormat PhD Sastera dan Sains Sosial daripada Universiti Malaya (UM) yang disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Istiadat Konvokesyen ke-59 di sini hari ini.

Pemimpin veteran itu ketika ditemui memberitahu, beliau memulakan pengajian secara separuh masa pada tahun 2008 dan dalam tempoh tersebut pelbagai kekangan dihadapi daripada segi masalah kesihatan termasuk mengimbangi komitmen dengan tugasan lain.

"Saya terpaksa tangguh pengajian hampir lima tahun akibat masalah kesihatan termasuk penglihatan kurang jelas.

"Tapi selepas itu dengan bantuan serta dorongan daripada penyelia dan keluarga, saya sambung semula pengajian termasuk menyiapkan tesis bertajuk Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru: Kejayaan dan Kegagalan," katanya pada sidang akhbar selepas Istiadat Konvokesyen UM ke-59 di sini hari ini.

Terdahulu, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menganugerahkan ijazah kepada 1,203 graduan termasuk Daim melalui Istiadat Konvokesyen tersebut.

Secara keseluruhan, seramai 6,562 graduan menerima ijazah dengan 477 daripadanya membabitkan ijazah kedoktoran, ijazah sarjana (2,026), ijazah sarjana muda (2,965), diploma (803), diploma dan diploma lanjutan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) (291).

Menceritakan lanjut bagaimana beliau terinspirasi untuk menyambung pengajian ke peringkat PhD di usia emas, Daim berkata, ia kerana beliau sering dipanggil untuk memberi syarahan mengenai polisi ekonomi baharu.

Artikel Berkaitan:

"Untuk berucap, kita perlu buat kajian yang banyak dan kajian yang bagus boleh diperoleh di universiti.

"Jadi itu antara sebab saya sambung pengajian dan buat kajian tesis tentang isu tersebut. Lagipun selagi ada hayat kita kena cari ilmu," katanya.

Dalam pada itu, Daim berharap tesis yang disiapkannya itu menjadi panduan atau saranan kepada kerajaan agar memberi penumpuan lebih terhadap aspek pendidikan kepada rakyat.

Turut hadir meraikan hari bersejarah bekas Menteri Kewangan itu ialah isterinya, Toh Puan Naimah Khalid, lima anak, enam cucu serta seorang cicit.