Tak adil kaitkan LTTE dengan saya: Kulasegaran

Gambar tular di media sosial yang dikaitkan dengan LTTE.
Gambar tular di media sosial yang dikaitkan dengan LTTE.
A
A
A

IPOH - Naib Pengerusi DAP, M Kulasegaran merasakan tidak adil untuk mengaitkannya dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) selepas gambarnya bersama lelaki yang dikaitkan dengan kumpulan itu telah tular di media sosial.

Menurutnya, beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu.

"Saya ada banyak gambar. Jangan percaya gambar dari WhatsApp atau internet, orang boleh membuat pelbagai tuduhan. Mereka boleh kata apa sahaja.

"Ia tidak adil untuk bertanya kepada saya, adakah saya terlibat? Kerana orang yang buat tuduhan itu pun saya tidak kenal. Kita tidak tahu, biar polis jalankan siasatan," katanya ketika ditanya mengenai gambarnya yang tular bersama salah seorang ahli DAP yang ditahan oleh pasukan polis Anti Pengganas dari Bukit Aman.

Beliau yang juga Menteri Sumber Manusia ditemui selepas merasmikan Karnival Prihatin Jobsmalaysia 2019 di Taman Tema Animasi Studio (MAPS), Bandar Meru Raya di sini hari ini.

Ditanya mengenai pendiriannya, Kulasegaran berkata, pihaknya bersimpati dengan apa yang berlaku kepada mangsa.

Kulasegaran (tengah) ditemui pada sidang media selepas merasmikan Karnival Prihatin Jobsmalaysia 2019 di Taman Tema Animasi Studio (MAPS) hari ini.
Kulasegaran (tengah) ditemui pada sidang media selepas merasmikan Karnival Prihatin Jobsmalaysia 2019 di Taman Tema Animasi Studio (MAPS) hari ini.

"Kita bersimpati hanya kepada mangsa. Apa yang berlaku pada negara lain itu adalah masalah dalaman mereka.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan maklumat yang diterima, mereka akan dibawa ke mahkamah. Polis mempunyai bukti yang munasabah dan fakta-fakta untuk bawa mereka ke mahkamah," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: LTTE: Polis ada bukti sebelum lakukan tangkapan

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador hari ini menegaskan polis mempunyai bukti sebelum melakukan penahanan terhadap individu-individu yang disyaki terbabit dengan kumpulan pengganas.

Beliau berkata, tangkapan dilakukan pihaknya bukan dilakukan secara sewenang-wenangnya dan ia tiada kaitan dengan isu politik, kaum mahupun agama.

Kelmarin, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), masing-masing dari Melaka dan Negeri Sembilan antara tujuh individu ditahan dalam operasi khas dilancarkan di enam negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah dan Perak bermula jam 9 pagi hingga jam 2 petang selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan pengganas LTTE.

Kedua-dua ADUN terbabit dikesan menghadiri program Hari Perwira LTTE di Melaka pada 28 November tahun lalu dan memberikan ucapan berunsur sokongan terhadap kumpulan pengganas terbabit, selain turut mengedarkan risalah berkaitan kumpulan itu.