Nostalgia syarikat akhbar Melayu

A
A
A

SYARIKAT Utusan Melayu (Malaysia) Berhad akhirnya ditutup awal minggu ini setelah tidak mampu lagi untuk menanggung hutang operasi berjuta-juta ringgit setiap bulan.

Maka tamatlah satu entiti perniagaan kebanggaan orang Melayu berusia 80 tahun yang menerbitkan akhbar Melayu (Jawi) tertua itu.

Serentak dengan penutupan syarikat, dua lagi harian keluarannya, Utusan Malaysia dan Kosmo!, tidak lagi diterbitkan.

Malang lagi, lebih 800 wartawan yang sejak beberapa bulan ini tidak menerima gaji, diberhentikan serentak dan diminta meninggalkan ruang kerja dalam masa hanya beberapa jam.

Seperti yang disebut oleh ketua Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Utusan, tindakan pihak pengurusan syarikat memberi notis berhenti begitu singkat dan tanpa sebarang gaji dan pampasan, adalah zalim.

Sebagai bekas wartawan Utusan Melayu, saya turut sedih dan bersimpati.

MENGENANG zaman silam, saya memulakan kerjaya kewartawanan di Utusan Melayu (Jawi) sebagai pemberita pelatih pada 2 Februari 1974.

Masih ‘teruna sunti,’ saya diletakkan diletakkan di Meja Am (General Desk) bersama pemberita yang lebih senior, antaranya Chamil Wariya (kini Datuk Dr).

Artikel Berkaitan:

Saya mendapat latihan terus daripada sifu-sifu wartawan ketika itu termasuk Tan Sri Zainuddin Maidin @ Zam, Osman Abadi, Azah Aziz, Subky Latif, dan Suhaimi Mokhtar.

Gaji pokok RM350, campur RM60 elaun sara hidup (COLA). Potongan tetap bulanan: RM15 (hutang tempah kot daripada Cheong Fatt), RM20 (hutang typewriter ‘Olivetti’ daripada syarikat), RM60 (hutang kantin, kadang-kadang cilok!), RM50 (hantar kampung, mesti), RM35 (sewa bilik di Jalan Raja Uda, Kampung Baru, wajib).

RM350 sebulan kira okey ketika itu sebab tambang bas Tong Fong dari Jalan Silang ke pejabat di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur hanya 12 sen, air tebu 10 sen, rojak buah 50 sen, nasi kandar Kudu RM1.50.

Masa itu, RM10 sudah boleh ajak makwe belanja sakan makan mi goreng dan ABC di Benteng (sekarang terletak dekat ibu pejabat HSBC di tengah pusat bandar).

Memang, gaji hanya cukup-cukup makan tetapi saya bersemangat dan sentiasa gembira menjadi orang surat khabar. Utusan Melayu mungkin sekolah kewartawanan terbaik ketika itu.

Utusan dengan kepelbagaian karektor dan suka-duka, membimbing saya menjadi wartawan. Lebih daripada itu, syarikat dan akhbar terbitannya membentuk saya menjadi manusia.

Tidak pernah terbayang Utusan Melayu yang gah lagi cemerlang itu boleh ghaib. Sedih tidak terkata!

DR Syed Husin Ali mendedahkan bahawa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhasrat untuk meninggalkan PKR dan menubuhkan sebuah parti baharu.“Pada satu tahap, Azmin serius tentangnya (parti baharu),” kata Syed Husin dalam wawancara dengan Malaysiakini.

Alkisah yang membuatkan Timbalan Presiden PKR dan Menteri Ekonomi itu kecewa sehingga hendak menubuhkan parti sendiri ialah kontroversi semburit dikaitkan dengan beliau walaupun beliau menafikan.

Lain kata Syed Husin, lain pula kata orang kuat Azmin, Zuraida Kamaruddin. Naib Presiden PKR itu menafikan rancangan untuk menubuhkan parti baharu.

Tidak Syed Husin, tidak juga Zuraida; hanya Azmin yang betul-betul tahu apa yang tersirat dan tersurat.

BAGI Tan Sri Annuar Musa, adalah satu perkara yang menarik sekiranya benar Azmin menubuhkan parti baharu.

Kata Seriausaha Agung UMNO itu: “Sudah tentu jika beliau tidak serasi dengan kepimpinan dalam PKR, saya fikir beliau ada kebebasan untuk tubuhkan parti politiknya sendiri.”

Tambah Annuar, tentu menarik untuk melihat siapa lagi dalam PKR yang akan keluar parti mengikut Azmin yang juga Timbalan Presiden parti itu.

Malah, Annuar bersinis: “Siapa tahu, beliau (Azmin) mungkin Perdana Menteri kelapan.”

Dalam politik semuanya serba mungkin!

AKHIR kalam, seperti yang ditularkan, mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diberi sambutan hangat ketika turun ke Tanjung Piai, Johor.Apakah itu pertanda bahawa kerusi Parlimen berkenan akan terlepas kepada pihak lain pada PRK 16 November ini?

*TOK PERAK