Cabaran tukar sistem pilihan raya

A
A
A

AGAK mengejutkan juga apabila Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) mengemukakan cadangan supaya dua kaedah pilihan raya dilaksanakan di negara ini pada masa hadapan.

Ini setelah ERC mengesyorkan kepada kerajaan untuk melakukan pilihan raya mengikut kaedah perwakilan berkadar (proportional representative) bagi kawasan Parlimen dan kaedah majoriti mudah (first past the post) bagi peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kalau cadangan ini diterima, pilihan raya di Malaysia nanti akan dijalankan serentak dalam dua kaedah yang berbeza di mana kerusi di peringkat pusat akan ditentukan menerusi peratusan jumlah undi yang diterima manakala bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, kerusi masih kekal ditentukan berdasarkan undi majoriti.

Jadi dikertas undi nanti, pengundi akan memangkah lambang parti untuk parlimen dan barangkali memangkah gambar atau nama calon diperingkat DUN. Begitulah senarionya.

Mengapa idea ini dicadangkan ERC? Antara alasan bagi menjustifikasikan cadangan itu ialah kaedah perwakilan berkadar akan mencipta persaingan yang adil dan seimbang berbanding kaedah majoriti mudah sedia ada.

Ketika PRU13, isu inilah yang dibangkitkan apabila keputusan PRU menyaksikan Barisan Nasional (BN) kekal memerintah walaupun undi popular yang diterima parti itu hanyalah sekitar 48 peratus berbanding Pakatan Rakyat (PR) sekitar 51 peratus daripada 11 juta undi yang dibuang.

Kalau mengikut kaedah perwakilan berkadar, PR sepatutnya diisytiharkan pemenang. Namun sebaliknya kerana mengikut kaedah majoriti mudah, BN diumumkan menang setelah memenangi 132 kerusi parlimen berbanding PR (90) dari keseluruhan 222 kerusi parlimen yang dipertandingkan.

Kalau ikutkan kes PRU14, memang ada benarnya. tetapi hal itu sahaja tidak boleh dijadikan sebagai alasan tunggal bagi mewajarkan perlaksanaannya. Faktor demografi, taburan penduduk (pengundi), keluasan kawasan, jurang pembangunan bandar dan luar bandar, sistem politik dan kepartian serta tahap pemahaman dan partisipasi rakyat juga antara faktor yang harus diambil kira.

Artikel Berkaitan:

Perbandingan

Dalam masa sama, tidak adil juga kalau menjadikan negara-negara maju sebagai angkubah perbandingan. Ini adalah kerana kaedah perwakilan berkadar seperti yang diamalkan di Amerika Syarikat, New Zealand dan Australia dapat dilakukan disebabkan faktor-faktor seperti jurang pembangunan kawasan yang seimbang, taburan pengundi yang setara dan tahap kecelikan politik yang tinggi dikalangan rakyat negara-negara tersebut berbanding kita di Malaysia.

Hakikat bahawa wujud ketidak seimbangan taburan pengundi dan kawasan pilihan raya yang ketara di Malaysia memang jelas dan nyata.

Sebagai contoh bagaimana kawasan Parlimen Kinabatangan yang saiznya sebesar negeri Pahang hanya mempunyai dua Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan pengundi sekitar 28,730 sedangkan Pahang mempunyai 14 Parlimen dan 42 DUN (dengan jumlah keseluruhan pengundi berdaftar di Pahang berjumlah 825,636) boleh dijustifikasikan mengikut kaedah yang dicadangkan?

Apakah pemberat luar bandar (rural weightage) yang menjadi antara pertimbangan dalam melakukan persempadanan mahu dikorbankan semata-mata mahu mengamalkan kaedah perwakilan berkadar? Kalau inilah yang berlaku kita sudah tidak berlaku adil kepada orang di Kinabatangan dan kawasan-kawasan yang sama dengannya.

Dalam konteks ini penulis bersependapat dengan bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar yang memberikan prespektifnya terhadap cadangan ini.

Sebagai orang yang berpengalaman mengendalikan pilihan raya, beliau sendiri melihat kaedah majoriti mudah & berperwakilan kawasan lebih sesuai diamalkan di Malaysia berdasarkan dua sebab; pertama hubungan rakyat dan wakil rakyat di kawasan yang diwakilinya lebih bersifat peribadi, dekat, rapat dan mesra dimana ini membolehkan rakyat menilai sendiri prestasi, khidmat, kemajuan dan pembangunan di kawasan yang diwakilinya.

Kedua, kaedah ini lebih sesuai membantu negara mengalami proses pembangunan dan kemajuan di antara kawasan luar bandar serta bandar yang agak seimbang disebabkan usaha wakil rakyat berbanding wakil parti politik. Ini kerana mampukah nanti wakil parti menjaga dan membela kebajikan pengundi di kawasan itu jika ia tidak ada hubungan sejati dengan pengundi di kawasan berkenaan sebagaimana wakil rakyat?

Secara ringkas, terdapat tiga cabaran utama yang perlu diperhatikan sebelum membuat keputusan tukar atau kekal sistem pilihan raya di Malaysia. pertama, pola pengundian dan politik negara yang masih kuat dipengaruhi elemen kaum, agama dan demografi setempat.

Kedua, keluasan kawasan, nisbah pengundi yang berbeza-beza serta ketidak seimbangan pembangunan di antara bandar dan luar bandar dan terakhir, tahap pemahaman dan partisipasi politik masyarakat yang masih rendah, pasif dan parokial. Kalau tiga perkara ini boleh diselesaikan, ketika itulah permasalahan ini boleh dibicarakan.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)