SPRM siasat kes orang asli Kampung Lawai terima 'sagu hati'

Latheefa Koya
Latheefa Koya
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menerima laporan dibuat 10 keluarga orang asli dari Kampung Lawai, Sungai Siput yang mendakwa diberikan 'sagu hati' berjumlah RM40,000 daripada syarikat pembalakan bagi menutup mulut berhubung aktiviti pencerobohan yang dibuat di situ.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, SPRM Perak sudah membuka kertas siasatan berhubung kes itu.

"Kenyataan akan diambil daripada 10 keluarga berkenaan.

"Wang berjumlah RM15,000 yang diserahkan bersama laporan semalam diambil sebagai barang kes bagi tujuan sebagai keterangan untuk siasatan," katanya kepada Sinar Harian menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

Bagaimanapun katanya, Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya juga akan turut membantu dalam siasatan itu.

Terdahulu, 10 keluarga orang asli itu tampil ke pejabat SPRM menyerahkan sebahagian wang berjumlah RM15,000 yang didakwa diberikan oleh syarikat pembalakan terbabit agar tiada bantahan dibuat penduduk terhadap aktiviti pencerobohan yang dilakukan.

Wakil penduduk, Mat Seri Pandak dilaporkan memberitahu sekurang-kurangnya 30 keluarga menerima pemberian wang dengan jumlah keseluruhan RM40,000.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak RM400 hingga RM470 diberikan kepada setiap orang dewasa dan RM50 kepada kanak-kanak.

Artikel Berkaitan:

"Wang tersebut diedarkan melalui satu sampul oleh wakil penduduk pada satu mesyuarat yang diadakan di Dewan Adat Kampung Lawai pada 3 Oktober lalu.

"Kami dimaklumkan wang sagu hati itu daripada pembalak yang bersetuju memberikan sebanyak RM80,000 kepada penduduk kampung untuk satu blok balak. Jika projek itu tidak disita kerajaan sebanyak RM40,000 lagi akan diberikan kepada penduduk," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Orang asli serah RM15,000 kepada SPRM