Syarat membina perpaduan

A
A

DALAM Islam, perpaduan dan keharmonian boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu sesama anggota masyarakat dan sesama muslim.

Dalam konteks perpaduan dan keharmonian sesama anggota masyarakat, kita semua pasti akui bahawa Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum dan agama, amat memerlukan perpaduan dan keharmonian sesama mereka.

Sesebuah negara tidak mungkin boleh membina kekuatan dalam apa jua aspek sekalipun jika anggota masyarakatnya berpecah belah.

Sikap pentingkan diri sendiri, kaum dan bangsa sendiri serta yang seagama mereka semata-mata akan mendorong mereka untuk tidak akan memelihara perkataan dan perbuatan mereka.

Sebagai contoh, apabila berlaku sesuatu perkara yang melibatkan individu berlainan bangsa atau agama, akan ditularkan pelbagai mesej dalam media sosial yang berbaur perkauman.

Sudah pasti dengan teknologi moden hari ini, setiap berita boleh disebarkan dalam masa beberapa minit sahaja.

Penularan mesej berbau perkauman itu boleh membangkitkan kemarahan dan seterusnya akan menyebabkan prasangka buruk menular dalam anggota masyarakat dalam tempoh singkat.

Begitu juga kadangkala kita dikejutkan dengan tindakan yang berbaur penghinaan pada agama lain.

Adalah tidak wajar orang Islam menghina agama lain dan begitulah penganut agama lain, tidak sepatutnya dan amat tidak wajar mereka menghina agama Islam.

Ini kerana tindakan tersebut akan menimbulkan pergaduhan dan persengketaan antara mereka.

Dalam al-Quran ada dinyatakan bahawa kita orang Islam dilarang menghina tuhan agama lain kerana perbuatan tersebut boleh membawa penghinaan kepada ALLAH dan ini adalah diharamkan dalam Islam.

Orang Islam yang melakukan perbuatan ini adalah berdosa. Kenapa berdosa?

Bukankah agama yang diiktiraf oleh ALLAH hanyalah Islam? Memang betul hanya Islam yang diiktiraf oleh ALLAH tetapi perbuatan kita menghina tuhan-tuhan agama lain atau apa sahaja yang berkaitan dengan agama mereka adalah suatu yang diharamkan dalam Islam.

Firman ALLAH yang bermaksud: “Jangan kamu menghina tuhan-tuhan yang mereka sembah selain ALLAH kerana mereka nanti akan menghina ALLAH dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikian Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka.” (Al-An’am:108).

Dalam konteks perpaduan dan keharmonian sesama muslim pula, ALLAH Taala berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudaramu.” (Al-Hujurat, 10)

Daripada maksud firman ALLAH di atas jelas kepada kita bahawa perpaduan sesama muslim itu adalah suatu yang amat penting.

Malah kita diarah agar mendamaikan saudara kita yang bersengketa. Sejarah telah membuktikan bahawa Rasulullah SAW telah mempersaudarakan kabilah Aus dan Khazraj.

Ini kerana tugas dan tanggungjawab yang Rasulullah SAW bawa tidak mungkin boleh direalisasikan melainkan dengan wujudnya ikatan yang kuat antara sesama umat Islam. ALLAH telah tegaskan sebagaimana dalam maksud Firman-Nya: "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali ALLAH (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat ALLAH kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (ketika jahiliah dahulu), lalu ALLAH menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat ALLAH itu orang Islam yang bersaudara.” (Surah Ali ‘Imran, sebahagian ayat 103)

Jelas sekali ALLAH dan Rasul-Nya telah letakkan iman yang bersumberkan al-Quran dan al-hadis sebagai asas kepada perpaduan dan keharmonian dan bukannya perkara lain.

Oleh itu, jika perpaduan antara anggota masyarakat atau antara kumpulan tertentu dibina atas dasar wujudnya persamaan dalam agenda politik, ia adalah suatu yang mungkin tidak kekal lama.

Jika perpaduan diasaskan atas dasar perkauman, ia juga tidak mampu bertahan lama.

Jika kita menjadikan iman sebagai asas perpaduan dan keharmonian sesama muslim, tidak mungkin kita akan usahakan perpaduan dan kesatuan serta keharmonian itu dengan kumpulan tertentu sahaja.

Memang kita tidak boleh memaksa mereka untuk terima pandangan dan corak pemikiran kita.

Tetapi kita boleh membina perpaduan dan keharmonian dengan cara menghargai persamaan antara kita dan menghormati perbezaan yang ada antara kita. Dengan menjadikan iman sebagai asas perpaduan dan keharmonian, kita pasti boleh menghargai perbezaan antara kita. Wallahu a’lam.

*Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.