Satu muhasabah dan peringatan

A
A

Jumaat ini bermula jam 4 petang, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng akan membentangkan Belanjawan kerajaan Persekutuan bagi tahun fiskal 2020. Sesi pembentangan ini adalah yang kedua bagi Guan Eng selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan Persekutuan pada 9 Mei 2018.

Sudah pasti ramai tertunggu-tunggu daripada ahli politik, perniagaan dan korporat, penjawat awam dan rakyat biasa termasuklah mereka di kampung-kampung dan tanah-tanah rancangan.

Belanjawan kali ini sepatutnya dianggap sebagai belanjawan yang istimewa kerana ia menandakan Malaysia telah melangkah ke status negara maju seperti yang digarapkan oleh Wawasan 2020.

Namun, realitinya rakyat di bawah cukup terkesan. Melihat ke belakang setahun sewaktu diumumkan Belanjawan 2019, rakyat terkejut. Banyak bantuan-bantuan telah dinafikan untuk golongan B40 yang menghuni di kampung-kampung seperti nelayan, pesawah dan penoreh getah atas alasanpentadbiran Barisan Nasional (BN) yang lepas terlalu memanjakan mereka.

Bukan itu sahaja, banyak lagi pemotongan lain dibuat dengan alasan kewangan kerajaan tenat dan hampir bankrap akibat hutang 1 trilion. Penjawat awam dan rakyat terpaksa mengikat perut disebabkan oleh kurangnya prihatin kerajaan pentadbiran PH pada nasib mereka.

Ironinya, kerajaan pentadbiran PH tanpa segan silu meratah dana Petronas untuk mengembalikan wang bayaran balik cukai GST yang dikatakan telah dirompak oleh pentadbiran BN yang lepas. Itulah yang kaya ditatang, yang benar memerlukan dikekang.

Keliru

Belanjawan 2019 diiktiraf sebagai belanjawan terbesar dalam sejarah iaitu RM314 bilion ini juga menyerlahkan muka sebenar pentadbiran PH yang janggal memerintah tetapi angkuh bersandiwara.

Propaganda berterusan seperti ratib hutang 1 trilion telah membuatkan ekonomi negara terjejas dan keliru. Belanjawan yang sepatutnya menjadi wadah menafsirkan dasar ekonomi negara dijadikan sebagai medan politik melampau dan populis.

Maka, para pelabur menjadi keliru, indikator ekonomi negara turut bercelaru. RM38 bilion pernah mengalir keluar negara menjadikan Bursa Malaysia terkesan dengan jatuh 200 mata iaitu bersamaan dengan lesapnya nilai RM270 bilion.

Nilaian aset-aset saham yang dipegang oleh institusi-institusi pelaburan kerajaan seperti Tabung Haji, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Khazanah Nasional menurun sekali gus merendahkan nilai aset keseluruhan mereka.

Rakyat terpaksa memutihkan mata apabila kadar dividen yang tinggi selama ini menjadi kecil. Lihat sahaja Hibah TH tahun 2018 pada 1.25 peratus walhal tahun sebelumnya mencecah 6.25 peratus.

Dividen LTAT pada tahun 2017 adalah 12.5 peratus turun kepada hanya 2 peratus untuk tahun 2018. Adakah ini dikatakan kerajaan untuk rakyat?

Tuntas, terlalu banyak yang boleh dipersoalkan dalam Belanjawan 2019. Sehubungan itu, besar harapan rakyat melihat Belanjawan 2020 memberi penekanan kepada kebajikan dan kesejahteraan rakyat terbanyak. Cukup-cukuplah bereksperimen dan kembalilah kepada tugasan dan amanah memerintah negara demi rakyat dan bukan kepentingan diri.


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.