JTK Pahang buka 63 kertas siasatan terhadap 45 majikan

Pezman
Pezman
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Pahang membuka 63 kertas siasatan terhadap 45 majikan di negeri ini kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Kerja 1955.

Pengarah JTK Pahang, Pezman Che Hussin berkata, antara kesalahan yang dikesan ialah majikan gagal menyimpan daftar pekerja, gagal menyediakan dan memberi syarat perkhidmatan bertulis kepada pekerja, tiada pemberian cuti tahun, cuti am, cuti sakit bergaji serta sebagainya.

Menurutnya, malah ada segelintir majikan juga didapati melanggar terhadap perintah gaji minimum sepanjang operasi yang diadakan sejak Januari lalu.

"Bagi kesalahan pelanggaran ini (gaji minimum) majikan boleh didakwa di Mahkamah Majistret di bawah Seksyen 43 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan di bawah akta sama.

"Manakala majikan yang dikompaun atau didakwa di bawah Akta Kerja 1955 pula boleh dikenakan hukuman denda RM10,000 di bawah akta sama, jika didapati bersalah," katanya pada sidang akhbar di pejabat JTK Pahang di Wisma Persekutuan hari ini.

Beliau berkata, sejak Januari lalu hingga kini JTK telah menjalankan sebanyak 2,196 pemeriksaan di tempat kerja.

"Hasil pemeriksaan itu, pihak kita telah keluarkan sebanyak 205 notis pematuhan dan perlu diberikan respons segera oleh majikan dalam tempoh 14 hari hingga sebulan.

"Setakat ini JTK Pahang sudah mencapai 94 peratus pemeriksaan dan mahu mencapai sasaran sebanyak 2,340 pemeriksaan berkanun dilakukan di tempat pekerjaan di seluruh Pahang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Pezman berkata, operasi yang dilaksanakan oleh JTK bagi memastikan majikan mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan oleh pihaknya dan Jabatan Imigresen dalam penggajian pekerja asing.

Selain itu, katanya, pihaknya juga memastikan tiada penyalahgunaan tenaga kerja tempatan mahupun asing dalam aspek gaji, waktu kerja dan permit bagi pekerja asing.

"Kita sebolehnya mahu membasmi kewujudan kes pemerdagangan orang di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migrain 2007," katanya.