Kempen #BoycottMalaysia tak jejas hubungan Malaysia, India

Saifuddin
Saifuddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kempen #BoycottMalaysia yang digerakkan beberapa pihak di India tidak menjejaskan hubungan dua hala antara Malaysia dan negara itu.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, gerakan memboikot Malaysia di media sosial itu timbul susulan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menyentuh isu Jammu dan Kashmir di Perhimpunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-74 baru-baru ini.

"Kita telah buat analisa dan kita yakin boikot (#BoycottMalaysia) semakin menurun dan boleh kata sudah tidak ada hari ini.

"Saya yakin ia tidak jejaskan kedudukan Malaysia di persada antarabangsa dan saya juga yakin ia tidak jejaskan hubungan bilateral antara India dan Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang diajukan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH - Lembah Pantai) berkenaan kesan kempen #BoycottMalaysia yang dilancarkan rakyat India susulan kenyataan Dr Mahathir di PBB baru-baru ini.

Mengulas lanjut Saifuddin berkata, dasar luar Malaysia adalah dasar yang berkecuali di mana ingin berkawan dan berdagang dengan semua negara kecuali Israel.

Di sebalik amalan tidak campur tangan terhadap hal ehwal dalaman sesebuah negara namun katanya, Malaysia tidak menjadikan alasan untuk menjaga hubungan diplomasi untuk menutup mata sekiranya berlaku penindasan.

"Begitu juga dengan isu Kashmir sementara kita jaga kepentingan hubungan bilateral seperti politik, sosio dan budaya antara Malaysia dan India.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi takkanlah hubungan diplomasi perlu dijaga sehingga kita tidak mengambil apa-apa peranan sekiranya berlaku sesuatu yang menggugat atau menusuk kalbu.

"Ini bukan soal umat Islam tetapi golongan yang tertindas di mana kita harus bersuara cuma kaedah kita bersuara harus bijaksana ada waktu kita lantang," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Netizen India lancar kempen #BoycottMalaysia