Pemilik, pewaris tanah Kampung Baru mahu bincang dengan Khalid

Zainudin (dua dari kiri) mengetuai sidang akhbar pembangunan Kampung Baru di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru hari ini.
Zainudin (dua dari kiri) mengetuai sidang akhbar pembangunan Kampung Baru di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru mahu berbincang dari hati ke hati dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Setiausaha Kumpulan Pewaris Kampung Baru, Zainudin Ismail berkata, Khalid tidak pernah bertemu dengan mereka sejak menggalas jawatan itu sehingga kini.

Dakwanya, Khalid banyak menerima maklumat berkaitan isu Kampung Baru daripada Perbadanan Kampung Baru (PKB) tanpa merujuk kepada pemilik.

"Di sinilah punca masalah timbul kerana maklumat yang diberikan bercanggah dengan apa yang kami ada.

"Sebelum ini, Dr Mahathir semasa kempen PRU14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) pada 2 Mac 2018 berjanji akan membangunkan Kampung Baru jika PH (Pakatan Harapan) menang.

"Ini disambut baik oleh penduduk Kampung Baru. Dr Mahathir turut menyarankan kami membentuk jawatankuasa sebagai platform menyuarakan pandangan mengenai pembangunan," katanya pada sidang akhbar Kampung Baru di Kelab Sultan Sulaiman hari ini.

Namun katanya, pembentukan Pertubuhan Pemilik Tanah dan Waris Tanah Kampung Baru (PPTWT) yang dibentuk bagi tujuan itu tidak mendapat perhatian kerajaan.

"Memang betul ada wakil penduduk Kampung Baru yang menjadi ahli PKB namun mereka terikat dengan peraturan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Kesannya, kehendak dan hasrat kami tidak sampai kepada menteri. Wujud jurang komunikasi antara kami dengan menteri menyebabkan banyak maklumat salah diterima. Kelemahan ini perlu diatasi segera," katanya.

Zainudin berkata, beliau meminta pemilik dan pewaris dijadikan rakan kongsi dan dilibatkan dalam pembangunan Kampung Baru bersama pemaju dan kerajaan.

"Tanah kami boleh dijadikan modal kepada projek pembangunan Kampung Baru. Lebih tinggi nilai tanah maka lebih besar pelaburan ke atas pemilik yang akan mendapat pulangan besar.

"Kami syorkan kerajaan guna kaedah 'joint effort model' antara pemilik dan pewaris, pemaju serta kerajaan di mana peranan kami adalah sebagai semak dan imbang bagi mengelak berlakunya penyelewengan dan meyakinkan pelabur untuk turut serta," katanya.