Aduan air berbau busuk di 33 kawasan semakin pulih

Laporan Sinar Harian mengenai aduan penduduk yang mendakwa air dibekalkan ke kawasan perumahan dikatakan berbau busuk. Gambar kecil: Abdul Raof Ahmad
Laporan Sinar Harian mengenai aduan penduduk yang mendakwa air dibekalkan ke kawasan perumahan dikatakan berbau busuk. Gambar kecil: Abdul Raof Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Bekalan air di 33 kawasan yang diadukan berbau sejak 28 September lalu dilaporkan menunjukkan pemulihan.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, hanya 15 aduan air berbau diterima pihaknya dari jam 12 tengah malam tadi sehingga jam 10 pagi ini.

Menurutnya, keputusan ujian dijalankan mengesahkan air dibekalkan selamat digunakan dan mematuhi piawaian parameter fizikal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ia berdasarkan ujian pensampelan dijalankan di kawasan yang menerima aduan selain pemeriksaan di kolam perkhidmatan dan sistem perpaipan,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Abdul Raof berkata, pemantauan dan pemeriksaan akan terus dilakukan ke atas semua aset, kolam perkhidmatan dan sistem agihan serta melaksanakan aktiviti pencucian bagi memastikan air dibekalkan selamat digunakan dan mematuhi piawaian ditetapkan.

“Kami mohon maaf atas segala kesulitan dialami pelanggan, namun Air Selangor komited memberikan perkhidmatan terbaik,” katanya.

Semalam Sinar Harian melaporkan penduduk di Bandar Saujana Putra meluahkan kegusaran berikutan bekalan air di kawasan berkenaan dikatakan tercemar dan berbau busuk sejak beberapa hari lalu.

Tinjauan Sinar Harian mendapati kebanyakan penduduk menggesa tindakan diambil diambil segera bagi menangani masalah tersebut kerana khuatir terhadap sebarang masalah kesihatan, dalam masa sama mengakui keadaan itu sedikit sebanyak mengganggu aktiviti harian mereka.

Dalam pada itu, Air Selangor turut memaklumkan pihaknya menerima sebanyak 1,143 aduan air berbau sejak 28 September lalu.

ARTIKEL BERKAITAN 'Air berbau busuk'

Artikel Berkaitan: