Sarawak tangguh larangan merokok di tempat awam

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Kerajaan negeri Sarawak menangguhkan larangan merokok di semua premis makan yang penguatkuasaannya bermula hari ini di seluruh negara, sementara menunggu keputusan Kabinet negeri, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Dr Sim Kui Hian.

Beliau berkata, sungguhpun kerajaan negeri sependapat dengan kerajaan Persekutuan dalam undang-undang anti merokok, ia mempunyai ordinan kerajaan tempatan sendiri berhubung aktiviti merokok.

Hakikatnya pada dua tahun lepas, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) melaksanakan kempen anti merokok di kopitiam menerusi undang-undang kecil kerajaan tempatan mereka sendiri, tetapi malangnya tidak semua majlis tempatan di Sarawak melakukan perkara sama.

"Elakkan daripada dikelirukan oleh pihak tertentu bahawa kami menghalang undang-undang persekutuan daripada dilaksanakan di negeri ini,” kata Dr Sim kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau difahamkan bahawa Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) di bawah Kementerian Kesihatan akan memanggil pemegang kepentingan terutamanya pengusaha kopitam untuk membincangkan Undang-undang Anti Merokok Persekutuan yang baru diwartakan (24 Disember 2018) dan pelaksanaannya.

Dr Sim berkata, satu pertemuan telah diadakan membabitkan JKNS, kementerian beliau, dan Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak pada 28 Dis tentang perkara yang perlu dilakukan Sarawak berhubung pelaksanaan dan isu berkaitan penguatkuasaan larangan itu di pihak majlis tempatan.

Di KOTA KINABALU, Majlis Belia Sabah (MBS) mahu larangan merokok di restoran dan premis makan yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Kesihatan bermula tengah malam tadi dilaksanakan di Sabah.

Presidennya, Ahmad Farid Sainuri berkata, larangan itu bukan hanya menyediakan persekitaran yang sihat kepada anak kecil, warga emas dan pesakit yang menghidap masalah pernafasan tetapi juga mampu menjadikan Sabah sebagai destinasi pelancongan setanding dengan negara maju.

Artikel Berkaitan:

“Langkah itu mampu menjimatkan dari segi perbelanjaan subsidi hospital kerajaan apabila jumlah pesakit berkurang selain menjana pendapatan dengan kehadiran pelancong yang menyukai persekitaran bebas asap rokok di premis kedai makan di negeri ini,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Ahmad Farid berkata MBS yang mewakili lebih 190,000 belia di Sabah berkata larangan itu tidak menafikan hak perokok kerana terdapat pekeliling yang menetapkan jarak kawasan boleh merokok iaitu tiga meter daripada premis larangan.

Baru-baru ini Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Jaujan Sambakong berkata, Sabah akan mengkaji larangan merokok di negeri ini.

Jaujan berkata negeri Sabah tidak menguatkuasakan larangan merokok seperti yang diumumkan kerajaan Persekutuan yang berkuat kuasa 1 Jan 2019 sehingga ia disahkan dalam mesyuarat kabinet negeri.

Pada Oktober lepas, Kementerian Kesihatan mengumumkan larangan merokok di semua restoran, kopitiam dan pusat penjaja, malah tempat makan di ruang terbuka, di seluruh negara, berkuat kuasa hari ini, 1 Jan 2019.

Mereka yang didapati merokok di kawasan larangan akan didenda sehingga RM10,000 atau berdepan hukuman penjara dua tahun manakala premis makan yang didapati membenarkan pelanggan mereka merokok akan dikenakan hukuman denda maksimum RM2,500. - Bernama