Ambil alih PLUS: Kementerian Kewangan terima satu lagi cadangan menarik

Lim Guan Eng - Foto Bernama
Lim Guan Eng - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kewangan menerima satu lagi cadangan daripada Khazanah Nasional Bhd mengenai pengambilalihan PLUS Malaysia Bhd yang dianggap lebih menarik dan memberi manfaat kepada rakyat, kata menterinya, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, walaupun Kementerian Kewangan belum lagi menerima cadangan firma ekuiti persendirian, RRJ Capital yang berpangkalan di Hong Kong berkaitan pengambilalihan itu, namun cadangan yang ditawarkan entiti perniagaan mungkin tidak sebaik yang dikemukakan sektor awam.

“Cadangan daripada entiti perniagaan mempunyai elemen keuntungan. Sekiranya tiada keuntungan, mereka tidak akan beli. Cadangan lain daripada Khazanah tidak mengandungi elemen keuntungan dan pastinya ia lebih baik bagi rakyat apabila tidak melibatkan unsur tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan bahawa RRJ Capital bercadang membida PLUS pada RM3 bilion dan sekiranya berjaya firma itu akan mengurangkan kadar tol sebanyak 20 peratus secara menyeluruh.

Guan Eng berkata, “Pada kesudahannya, anda mahu Lebuhraya PLUS menjadi manfaat untuk rakyat atau untuk swasta? Sekiranya untuk manfaat swasta yang memasukkan elemen keuntungan, bermaksud rakyat perlu membayar tol lebih tinggi, atau manfaat awam tanpa unsur keuntungan dengan tol lebih rendah”.

Mengenai perkembangan pengurusan hutang RM1 trilion negara, Guan Eng menyifatkannya sebagai proses yang ‘menyakitkan dan sukar’.

“Ia tidak mudah malah tidak boleh dilaksanakan dalam tempoh yang singkat. Walaupun kita perlu meneruskan pinjaman untuk membiayai perbelanjaan pembangunan, namun akaun kita kini lebih terbuka bagi pelaporan yang telus,” katanya.

Ketika ditanya sama ada Kementerian Kewangan berbincang dengan Goldman Sachs Group Inc susulan hasrat syarikat itu menyelesaikan isu keterlibatannya dalam hal ehwal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) selain membantu memulangkan wang terbabit kepada Malaysia, Guan Eng berkata: “tiada perbincangan dengan Goldman Sachs sebaliknya kita sedang meneruskan proses dan tindakan undang-undang yang dikendalikan oleh Peguam Negara.” - Bernama

Artikel Berkaitan: