Rumah Terbuka Aidilfitri Melaka tahun depan lebih menarik

Ab Rauf (tiga dari kiri) bersama Asmah (empat dari kiri) dan Mohd Ali ketika memberikan duit raya kepada orang ramai yang hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Melaka di MITC, Ayer Keroh pada Sabtu.
Ab Rauf (tiga dari kiri) bersama Asmah (empat dari kiri) dan Mohd Ali ketika memberikan duit raya kepada orang ramai yang hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Melaka di MITC, Ayer Keroh pada Sabtu.
A
A
A

MELAKA - Kerajaan Melaka akan menganjurkan Rumah Terbuka Aidilfitri berskala besar dan lebih menarik pada tahun depan sempena memeriahkan Tahun Melawat Melaka 2024.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, penganjuran itu akan ditaja, namun belum dapat diperincikan lokasi majlis itu yang pastinya bukan di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Menurutnya, perbincangan awal rumah terbuka itu berkonsepkan taman yang menarik dan akan menjadi tumpuan pelancong.

"Apa saya boleh katakan tahun depan kita ada kawasan yang lebih cantik dan menarik sempena Tahun Melawat Melaka 2024.

"Tunggu sahaja tahun depan, bersama-samalah kita membina kejayaan Melaka dan saya perlukan sokongan semua rakyat agar kita dapat meraikan kemeriahan sambutan hari raya tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Melaka di MITC, Ayer Keroh pada Sabtu.

Turut hadir, Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri, Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara berkata, penganjuran program mega seperti ini mencerminkan semangat Kerajaan Perpaduan apabila ia dihadiri rakyat pelbagai lapisan bangsa tanpa mengira tua mahupun muda.

"Saya teruja kerana dalam sebuah Kerajaan Perpaduan yang dibina di Melaka, kita dapat meraikan bersama rakyat daripada pelbagai kaum dan bangsa," katanya.

Dianggarkan 20,000 pengunjung menghadiri rumah terbuka yang diadakan bermula jam 10 pagi dengan pelbagai juadah menu disediakan.