Ahli perniagaan didakwa tipu pingat, darjah kebesaran

Tertuduh diiring polis di mahkamah hari ini.
Tertuduh diiring polis di mahkamah hari ini.
A
A
A
SEREMBAN - Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan menipu dan memperdaya untuk mendapatkan pingat dan darjah kebesaran membabitkan nilai RM650,000.

Tertuduh Tuan Mochtar Tuan Abdul Malek, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Diana Md Razali.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah menipu Lim Siang Yoong, 39, dengan memperdaya mangsa untuk mempercayai tertuduh boleh membantu mendapatkan pingat atau gelaran darjah kebesaran daripada kerajaan Melaka dengan menerima wang RM650,000 secara tunai.

Perbuatan itu dilakukan pada 20 Oktober 2017 hingga 10 Disember 2017 di sebuah premis di Jalan S2 C9, Seksyen C, Seremban 2, Green Technology Park di Seremban.

Tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebatan atau boleh juga dikenakan denda.

Bagi pertuduhan pilihan, pada tarikh dan lokasi sama tertuduh dengan curangnya memperdaya mangsa yang sama atas tujuan sama sehingga mendorongnya menyerahkan wang RM650,000.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nuralis Mat mencadangkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin.

Peguam tertuduh, Datuk Ahmad Damanhuri Mohd Yusof merayu diberi jaminan rendah atas alasan tertuduh menanggung keluarga selain bapa yang terlantar sakit akibat lumpuh sejak lima tahun lalu.
Artikel Berkaitan:


Mahkamah membenarkan jaminan RM40,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula pada 4 November depan.