Pertunas sokong hasrat kerajaan kembalikan GST

NURLIANA
NURLIANA
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Persatuan Tunas Usahawan Nasional (Pertunas) menyokong hasrat kerajaan untuk mengkaji semula pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang terbukti lebih cekap dan efisien bagi menggantikan cukai Jualan dan perkhidmatan (SST).

Bagaimanapun Setiausaha Agung Pertunas, Nurliana Muhammad berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan kadar lebih rendah berbanding 6 peratus yang ditetapkan sebelum ini.

"Kerajaan perlu mempertimbangkan kadar lebih rendah bagi mengimbangi kesan secara langsung kepada rakyat berpendapatan rendah serta golongan B40.

"Saya percaya rakyat Malaysia sudah cukup matang dan memahami keperluan kerajaan dalam melaksanakan semula sistem percukaian GST bagi memastikan ekosistem ekonomi negara secara jangka panjang dapat diimbangi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, berdasarkan rekod GST menyumbang kira-kira RM44 bilion kepada pendapatan negara pada 2017 sementara SST pula menyumbang kira-kira RM22 bilion di mana kerajaan berdepan kekurangan pendapatan kira-kira RM22 bilion selepas peralihan kepada SST.

Dalam perkembangan sama katanya GST juga dapat membantu mengelak ‘ekonomi terlindung’ atau ‘black economy’ di mana kerajaan kehilangan kutipan cukai hampir RM60 bilion.

"Sistem percukaian GST memberi keseimbangan kepada peningkatan pendapatan kerajaan bukan sahaja dapat mengurangkan defisit fiskal malah dapat melaksanakan banyak projek pembangunan, program keusahawanan dan kebajikan untuk rakyat yang tertangguh sebelum ini seperti pembinaan lebuhraya, jalan raya, jambatan, sekolah, hospital, klinik desa, subsidi petani atau nelayan.

"Inisiatif pelaksanaan GST penting kepada program dan projek yang dapat memberikan lebih peluang perniagaan dan pekerjaan kepada rakyat serta mempertingkatkan kesejahteraan rakyat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kajian semula kepada pelaksanaan GST penting dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu masa kini.

"Dalam hal ini kerajaan dilihat perlu mengenepikan dahulu janji manifesto dan sentimen politik lihat kepentingan negara secara menyeluruh," katanya.