Stor terbakar mungkin disebabkan bahan kimia

Hamdan (kanan) menyampaikan motosikal RIM untuk Balai Bomba Seremban 2 hari ini.
Hamdan (kanan) menyampaikan motosikal RIM untuk Balai Bomba Seremban 2 hari ini.
A
A
A

SEREMBAN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan tidak menolak punca kebakaran yang berlaku di stor Pusat Kualiti Alam Sdn Bhd semalam disebabkan reaksi daripada bahan kimia.

Pengarahnya, Hamdan Ali berkata, hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kawasan berkenaan tiba-tiba berasap dan kemungkinan berlaku reaksi terhadap bahan kimia disebabkan faktor cuaca atau lain-lain.

Katanya, terdapat lebih 500 jenis bahan kimia yang tersimpan dalam stor berkenaan dan kemungkinan ia bertindak balas sendiri sebelum terbakar.

“Setakat ini tiada maklumat kecuaian kerana kita percaya sisa buangan berjadual itu boleh terbakar sendiri berdasarkan tindak balas kepada cuaca panas.

“Bagaimanapun, tindakan pantas bomba yang bertugas di pusat Kualiti Alam itu berjaya mengawal kebakaran tersebut daripada terus merebak ke tempat lain sebelum mereka menghubungi pasukan bomba untuk meminta bantuan.

“Kita kemudiannya menurunkan 36 anggota termasuk pegawai ke lokasi kejadian untuk membantu memadamkan kebakaran dan api berjaya dikawal pada jam 3.45 petang dan padam sepenuhnya pada jam 12.04 tengah malam tadi,” katanya.

Hamdan (kanan) pada sidang media hari ini.
Hamdan (kanan) pada sidang media hari ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM di Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 di sini hari ini.

Tambahnya, setakat ini pihaknya tidak mempunyai maklumat lagi mengenai bahaya dan kesan kebakaran tersebut terhadap kualiti udara, berikutan siasatan masih dijalankan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada Kualiti Alam mematuhi peraturan yang ditetapkan JBPM terhadap prosedur menyimpan bahan buangan sisa terjadual ini, Hamdan berkata setakat ini mereka mematuhi setiap peraturan yang ditetapkan.

Sementara itu, mengenai cadangan memindahkan Pusat Kualiti Alam kerana jarak lokasi dengan penempatan awam kurang daripada 500 meter, beliau berkata faktor arah angin perlu diambil kira kerana ia punca udara dari kawasan itu sampai kepada penduduk.

“Bagi bomba, selagi pusat itu mematuhi syarat ditetapkan, tiada masalah kerana jika ditempatkan di kawasan jauh tetapi (masih berlaku pencemaran) kerana faktor arah angin, tiada apa yang dapat dibuat,” katanya.

Kata Hamdan, beliau akan mencadangkan kepada pihak syarikat Kualiti Alam supaya membuat penambahan jentera serta anggota bomba dan penyelamat di kawasan tersebut, bagi membolehkan respon terhadap kejadian seperti ini dapat diatasi dengan lebih baik.

Semalam media melaporkan, sebuah stor terbuka berkeluasan 20,000 kaki persegi di Pusat Kualiti Alam di sini, terbakar kira-kira 80 peratus dalam kejadian jam 1.06 tengah hari, namun tiada mangsa yang terbabit dalam kejadian itu.

Selain itu, Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan, memaklumkan kerajaan negeri akan menemui Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, pada 7 Oktober ini untuk mencadangkan supaya Pusat Kualiti Alam dipindahkan jauh dari lokasi penempatan awam.

ARTIKEL BERKAITAN:

Stor kualiti alam terbakar