X

Kindly register in order to view this article
!

MyCC cadang Grab didenda RM86 juta

Iskandar Ismail
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mencadangkan agar syarikat penyedia perkhidmatan seru pandu (e-hailing), Grab didenda RM86.77 juta serta penalti kewangan harian sebanyak RM15,000 sehari bermula hari ini.

Cadangan Itu dikemukakan kerana Grab didakwa menyalahgunakan kedudukan dominannya melalui pengenaan beberapa klausa yang membataskan pemandu- pemandunya daripada mempromosikan dan menyediakan perkhidmatan pengiklanan kepada pesaing-pesaing Grab dalam perkhidmatan e-hailing dan pasaran pengiklanan media transit.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail berkata, Grab diberi tempoh 30 hari untuk memberikan representasi mereka kepada MyCC.

“Klausa-klausa itu telah memberikan kesan mengganggu persaingan dalam pasaran berkenaan yang berpremiskan kepada platform pelbagai sisi dengan mewujudkan halangan kemasukan dan perkembangan kepada pesaing-pesaing Grab yang sedia ada termasuk pesaing-pesaing masa hadapan.

“Berikutan penggabungan di antara Grab dan Uber pada akhir Mac 2018, Grab telah menjadi pemain dominan di dalam pasaran e-hailing.

"Sejak penggabungan itu, MyCC telah menerima banyak aduan terhadap Grab. Berdasarkan aduan-aduan tersebut, MyCC telah membuat penilaian dan memulakan penyiasatannya ke atas Grab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iskandar berkata, keputusan cadangan yang dikeluarkan adalah selaras dengan Seksyen 36 AP2010, membolehkan MyCC menilai dan menyatakan sebab-sebab untuk keputusan cadangannya.

"Ia dikeluarkan kepada syarikat-syarikat terbabit bagi membantu mengemukakan representasi serta apa- apa maklumat lain bagi menyokong representasi mereka kepada MyCC.

“Bagaimanapun ini bukanlah keputusan akhir, Grab mempunyai peluang untuk mengemukakan pembelaannya dalam masa yang akan ditetapkan.

“MyCC kemudiannya akan mengeluarkan keputusan akhir di bawah Seksyen 39 atau 40 AP 2010 setelah menilai kesemua representasi serta maklumat dan bukti yang diketengahkan,” katanya.

Katanya, AP 2010 berkuatkuasa pada 1 Januari 2010 dan dengan itu, perniagaan haruslah patuh akan peruntukan-peruntukan yang terkandung di dalam AP 2010.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus