Penduduk lega kerajaan tangguh bekalan air berjadual

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA TENGAH - Rakyat di negeri ini melahirkan rasa syukur apabila kerajaan Melaka membuat keputusan menangguhkan pelaksanaan bekalan air berjadual, meskipun Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sudah pun memberikan kebenaran.

Tinjauan mendapati rata-rata penduduk di sini memuji langkah dan usaha kerajaan yang terus menggunakan perkhidmatan lori tangki Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), dengan bantuan beberapa syarikat konsensi air negeri lain ke kawasan yang terputus bekalan air, berbanding melaksanakan kaedah bekalan air berjadual.

Seorang pemilik kedai makanan di Ayer Keroh, Ahmad Nazrin Mohamad, 45, berkata, sekiranya catuan air dilaksanakan ia akan menyebabkan pengusaha restoran dan penjaja terpaksa menutup operasi berikutan gangguan bekalan air akan mengakibatkan aspek kebersihan terjejas.

"Kita turut menanggung kerugian kerana terpaksa menghentikan operasi apabila tiada air, kita berniaga kedai makan pinggan dan cawan kena cuci. Apabila air terhad pastinya pinggan dan cawan tidak dapat dicuci dengan sempurna," katanya.

Namun demikian Ahmad Nazrin berkata, sekiranya kerajaan negeri mahu melaksanakan bekalan air berjadual, mereka seharusnya memberi notis segera kepada penduduk sekitar yang terjejas dengan gangguan bekalan air itu, bagi memudahkan mereka menadah air secukupnya.

Seorang suri rumah, Maziah Samad, 51, dari Alor Gajah berkata, bekalan air berjadual akan menyebabkan orang ramai terpaksa mengeluarkan perbelanjaan lebih kerana perlu membeli air minuman untuk kegunaan urusan harian termasuk kerja-kerja di rumah seperti mencuci dan memasak.

"Memang susah jika ada catuan air, walaupun kita boleh menadah air awal sebagai persediaan, tetapi kita risau sama ada air tadahan itu mencukupi atau tidak, jadi terpaksalah membeli satu hingga dua karton air mineral setiap hari, untuk menampung keperluan seperti memasak nasi, mandi, mengambil wuduk dan lain-lain," katanya.

Bagi seorang pengurus Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) di Jasin, Nur Adila Abdul Rahman, 40, keputusan menangguhkan pelaksanaan bekalan air berjadual adalah tindakan yang wajar kerana sekiranya ia dilaksanakan, taskanya terpaksa ditutup berikutan air tadahan, tidak mampu menampung keperluan harian kanak-kanak.

Artikel Berkaitan:

"Misalnya di taska ada 10 kanak-kanak berusia antara setahun dan empat tahun, air tadahan memang tidak cukup untuk kegunaan seharian. Bagaimana hendak membuat susu dan menyediakan makanan untuk mereka, apatah lagi kegunaan mandi atau mencuci," katanya.

Pada Khamis lalu, SPAN melalui kenyataan media memaklumkan pihaknya meluluskan permohonan SAMB untuk melaksanakan kaedah air berjadual di kawasan terlibat, bagi mengawal penggunaan air mentah yang masih ada bermula 25 September.

Menurut kenyataan itu, sekiranya pelaksanaan air berjadual dilaksanakan ia akan membabitkan 78,405 akaun pengguna di sekitar Bandar Melaka.

Bagaimanapun pada hari sama, kerajaan negeri melalui SAMB membuat keputusan menangguhkan pelaksanaan bekalan air berjadual seperti yang diluluskan SPAN, berikutan paras air di sungai dan loji rawatan di negeri itu semakin pulih.

Semalam, SAMB dilaporkan berkata gangguan bekalan air di Melaka beransur pulih, apabila 41 daripada 93 kawasan yang terjejas sejak 14 September kembali menerima bekalan air, berikutan pengepaman air secara maksimum selepas paras air tinggi selepas hujan. - Bernama