Cuaca panas: Bekalan air sawah padi di Negeri Sembilan cukup

Bakri (dua kiri) ketika hadir pada majlis berkenaan pada Jumaat.
Bakri (dua kiri) ketika hadir pada majlis berkenaan pada Jumaat.
A
A
A

JELEBU - Bekalan air ke kawasan sawah padi di Negeri Sembilan setakat ini terkawal dan mencukupi walaupun berlaku gelombang cuaca panas melanda negara ketika ini.

Exco Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri, Datuk Bakri Sawir berkata, bagaimanapun pihaknya sedang memantau skim penanaman padi di Ulu Muar, Jempol.

"Ia berikutan air yang dibekalkan ke kawasan sawah turut digunakan dan diproses di loji rawatan air berhampiran bagi kegunaan penduduk.

"Sekiranya berlaku sebaliknya iaitu bekalan air terus berkurangan, keputusan akan dibuat sama ada mahu menghentikan bekalan air ke sawah padi atau tidak akan dibuat,"katanya selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Agama Kuala Klawang ( Semarak ) di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu beliau turut berpendapat adalah mustahil untuk menyekat air yang menjadi kegunaan penduduk kemudiannya memberi keutamaan kepada sawah padi.

"Situasi di sana sedang dipantau oleh agensi berkaitan, namun secara keseluruhan kawasan penanaman padi di negeri ini seperti di Kampung Sungai Buloh, Jelebu dan Ulu Muar, Jempol masih menerima air seperti biasa.

"Tiada lagi laporan mengenai sawah padi terjejas diterima sehingga kini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Bakri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Klawang menasihatkan penternak supaya tidak membiarkan haiwan ternakan masing-masing berada di kawasan lapang.

"Pastikan air minumannya mencukupi bagi mengelakkan kematian haiwan ternakan akibat strok haba," katanya.

Bakri sebelum ini memaklumkan, di Negeri Sembilan buat masa ini terdapat lebih 1,000 hektar tanaman padi iaitu di Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Jelebu.

Katanya, penanaman padi yang paling besar adalah di kawasan Jelebu iaitu hampir 500 hektar yang mana kesemua hasil tanaman padi ini adalah untuk pasaran tempatan.

Media baru-baru ini melaporkan Menteri Sumber Asli, Nik Nazmi Nik Ahmad memaklumkan cuaca panas akan terus melanda Malaysia sehingga Ogos ini berikutan negara kini sedang dalam fasa musim peralihan monsun.

Katanya, cuaca panas itu membabitkan semua negeri namun yang paling terasa adalah negeri di utara dan pantai timur.