Mahkamah putuskan Adib dipukul sekumpulan lelaki

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Mahkamah Koroner membuat dapatan bahawa Muhammad Adib Mohd Kassim dipukul oleh sekumpulan individu berketurunan India yang tidak dikenali ketika berada di dalam van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Allahyarham ketika itu bertugas untuk memadamkan kebakaran dalam insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ, November tahun lalu.

Hakim Koroner, Rofiah Mohamad dalam keputusannya berkata, dapatan tersebut mengambil kira bahawa rusuhan tercetus akibat kemarahan bangsa India terhadap pencerobohan kuil yang dilakukan sekumpulan Melayu beberapa hari sebelum itu.

"Si 8 (saksi inkues kelapan) S Suresh dalam keterangannya memberitahu mahkamah melihat aksi-aksi dan gerakan seperti memukul, menendang dan memijak seseorang oleh sekumpulan 20-30 lelaki mengerumuni sesuatu yang menjadi subjek kelakuan itu.

Ketika mendekati, Suresh ditolak sehingga jatuh ke arah arwah dalam posisi depan badannya melindungi sebahagian badan Muhammad Adib," katanya.

Menurutnya, ketika itu satu sepakan hinggap pada bahu kanannya.

"Sepakan ini jelas ditujukan ke arah dada arwah Adib tetapi tersasar ke bahu Suresh," katanya.

Suresh juga memberitahu dia terdengar perkataan "Jangan pukul" dan "Bomba pun nak pukul ke?" yang dituturkan dalam bahasa Tamil.

Artikel Berkaitan:

"Ini memberi petunjuk bahawa orang yang melarang memukul dan ditanya "Mengapa bomba pun nak pukul" adalah orang yang bertutur dalam bahasa Tamil.

Perkataan "Bomba pun nak pukul ke?" pada hemah saya menunjukkan perbuatan memukul berlaku," katanya.

Memandangkan bahasa Tamil adalah bahasa pertuturan majoriti masyarakat India, mahkamah membuat dapatan arwah dipukul sekumpulan individu yang tidak dikenali seperti dilihat Suresh.

Beliau berkata, ketiadaan kesan lebam ataupun kecederaan yang konsisten dengan kecederaan dipukul ketika melakukan bedah siasat tidak boleh dijadikan faktor penentu yang konklusif untuk mengatakan insiden pukulan itu tidak berlaku.

"Ini kerana selain bercanggah dengan keterangan saksi yang berada di tempat kejadian persoalan mengenai kesan lebam bergantung kepada banyak faktor seperti impak, anggota banda yang terlibat, jarak masa ia diperiksa selepas kejadian, warna kulit, akses kepada bahagian badan pesakit dan aspek tumpuan ketika pemeriksaan dijalankan," katanya.

Rofiah berkata, ia terbukti daripada keterangan SI 12 Dr M Nantha, iaitu pakar Sergeon Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) yang memberi fokus terhadap kecederaan yang mengecam nyawa Muhammad Adib.

"SI 12 adalah doktor paling awal yang melihat dan memeriksa arwah telah terlepas daripada memerhati, memeriksa dan merekod beberapa kecederaan kecil pada badan Muhammad Adib kerana memfokuskan kepada punca kecederaan," katanya.

Menurutnya, kumpulan perusuh di luar EMRS bukanlah mendatangkan kecederaan maut kepada arwah iaitu lung chest trauma tersebut.

"Ini kerana sebagai lelaki muda berbadan tegap dan anggota bomba terlatih adalah amat mustahil arwah tidak melawan atau mempertahankan diri. Tiada langsung kecederaan pada badan arwah yang menunjukkan dia mempertahankan diri," katanya.

Ketiadaan kecederaan mempertahankan diri menunjukkan arwah berada dalam keadaan tidak sedarkan diri atau tidak berupaya mempertahankan dirinya.

"Ia konsisten dengan keterangan Suresh yang mengatakan dia nampak arwah dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Kepatahan serentak pada lima tulang rusuk dengan kesakitan yang tidak boleh dibayangkan adalah munasabah untuk menyebabkan seseorang itu pengsan.

"Oleh itu kecederaan lung chest trauma itu adalah dialami arwah sebelum dia dilihat berada di tengah- tengah sekumpulan individu," katanya.