Kes Adib: Mahkamah benar Peguam Negara ketepi prosiding komital

Muhammad Adib, Tommy Thomas
Muhammad Adib, Tommy Thomas
A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan rayuan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas untuk mengetepikan prosiding perintah komital yang difailkan terhadapnya oleh bapa anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Hakim Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid dalam penghakimannya berkata, Mahkamah Koroner telah terkhilaf ketika membuat keputusan yang membenarkan prosiding komital dimulakan terhadap Peguam Negara.

Beliau berkata, pihak responden iaitu Mohd Kassim Abdul Hamid dalam permohonan rayuannya juga turut gagal menarik perhatian Koroner terhadap kenyataan media yang dikeluarkan Peguam Negara bertarikh 28 Mei 2019 secara keseluruhan.

Ini kerana katanya, Koroner hanya mengambil kira perenggan tertentu dalam kenyataan media berkenaan terutamanya berkaitan peranan peguam Syazlin Mansor, yang pada masa itu merupakan peguam pemerhati bagi pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta keluarga Muhammad Adib.

Mohd Kassim memfailkan permohonan untuk memulakan perintah komital terhadap Peguam Negara pada 16 Julai tahun lepas secara sebelah pihak (ex-parte) di Mahkamah Koroner di sini kerana menghina mahkamah berkaitan prosiding inkues bagi mencari punca kematian anaknya.

Peguam yang mewakili keluarga Muhammad Adib, Mohamed Haniff Khatri Abdulla selepas prosiding berkenaan memberitahu bahawa pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam masa terdekat.

"Kami dimaklumkan yang jika keputusan (Mahkamah Tinggi) hari ini tidak memihak kepada keluarga Muhammad Adib, pihak berkenaan akan mengemukakan rayuan," katanya kepada pemberita.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara ekoran kecederaan parah dialaminya dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun sama.

Artikel Berkaitan:

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib disebabkan perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui. - Bernama