Pembelajaran eksklusif di SAC

Mohd Shafie (kiri) ketika ditemu bual wartawan Sinar Harian.
Mohd Shafie (kiri) ketika ditemu bual wartawan Sinar Harian.
A
A
A

SEREMBAN - Stigma masyarakat terhadap Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) sekadar mengejar keuntungan semata-mata, bukanlah kenyataan baharu didengar.

Ada juga dakwaan yang sesetengah IPTS hanya gah dengan jumlah kemasukan pelajar yang ramai, tetapi kualiti pembelajaran dan kemudahan disediakan adalah mengecewakan.

Bagi membuang persepsi negatif itu, Kolej Seri Ayu (SAC) yang beroperasi di Tampin sejak 2015, hanya membuat pengambilan maksimum 300 pelajar setiap tahun untuk memastikan kualiti pembelajaran para pelajarnya.

Ahli Lembaga Pengarahnya, Mohd Shafie Md Sarip berkata, pengambilan pelajar perlu dihadkan bagi memastikan para pensyarah dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada setiap pelajar sekali gus menjadikan proses pembelajaran lebih eksklusif.

“Jika kita nak kejar keuntungan semata-mata memang boleh ambil jumlah pelajar lebih ramai, tapi bukan itu matlamat SAC diwujudkan.

“SAC memberi keutamaan kepada kualiti, bukannya kuantiti.

"Ini adalah penting untuk memastikan kualiti dari segi pembelajaran, keselesaan dalam kelas, kemudahan asrama dan pelbagai keperluan pelajar dapat diberi dengan baik,” katanya.

Program menepati keperluan & MQA

Apa yang lebih menarik, SAC menawarkan empat program diploma yang menepati keperluan pasaran iaitu Diploma Pentadbiran Perniagaan, Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Diploma Pengurusan Logistik dan Diploma Perakaunan

Artikel Berkaitan:

Jurusan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak merupakan program yang mendapat permintaan tinggi kerana peluang pekerjaannya terbuka luas sama di sektor awam dan swasta.

“Sejak kerajaan mengumumkan yang pengasuh atau guru tadika sekurang-kurangnya perlu ada diploma, menjadikan program Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak di kolej kami popular.

“Kami juga berbangga, daripada 21 IPTS yang ada di negeri ini, SAC antara 10 IPTS yang tawarkan program ini,” katanya.

Kakitangan dan tenaga pengajar SAC sentiasa memberikan yang terbaik kepada setiap pelajarnya untuk mendapatkan tempat di pasaran kerjaya.
Kakitangan dan tenaga pengajar SAC sentiasa memberikan yang terbaik kepada setiap pelajarnya untuk mendapatkan tempat di pasaran kerjaya.

Jelasnya, paling penting kolej ini mendapat kelulusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan setiap programnya mendapat kelulusan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Peluang untuk mengikuti program pendidikan di SAC juga terbuka kepada sesiapa sahaja dengan syarat sekurang-kurangnya tiga kredit dalam mana-mana subjek Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bantu pelajar dapatkan tempat

Apa yang lebih meyakinkan apabila lebih 90 peratus graduan kolej ini dapat pekerjaan sebaik saja menamatkan pengajian.

Menurutnya, tempoh enam bulan latihan industri telah memberi kelebihan kepada pelajar kerana ramai majikan akhirnya terus menyerap mereka selepas tamat praktikal.

“Bukan semua kolej swasta yang sediakan latihan industri dalam tempoh lama. Bagi saya, itu tempoh paling sesuai untuk pelajar kutip pengalaman sebelum bersedia melangkah ke dunia pekerjaan sebenar.

“Jangan risau dengan tempat untuk praktikal kerana kita akan bantu cari syarikat yang boleh tempatkan mereka,”katanya.

Jangan bimbang soal yuran

Sementara itu, kata Mohd Shafie, ramai beranggapan yuran pengajian di IPTS mahal, tetapi di SAC, yuran ditawarkan serendah RM22,6000 untuk setiap lima semester.

Katanya, pihaknya juga akan membantu para pelajar membuat permohonan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional(PTPTN).

Pilih jurusan paling diminati

Demi masa depan pelajar selain mengharapkan mereka dapat bekerja di bidang diminati, Mohd Shafie menasihatkan kepada pelajar supaya memilih jurusan yang mereka minati dan bukannya kerana tertarik dengan nama Institusi Pengajian Tinggi (IPT) semata-mata.

“Kita nak belajar, pilihlah jurusan yang kita minati dan paling penting ada pasaran kerja. Jangan kerana kita dapat tawaran jurusan tertentu di pusat pengajian tertentu, kita terus terima sedangkan bukan itu yang kita mahu.

“Jangan terus tolak bila ada tawaran IPTS, beri peluang, dengar apa yang ditawarkan, mungkin lebih baik untuk kita," katanya.

Katanya, ini adalah pelaburan demi masa depan dan keputusan terbaik perlu dibuat.