Pelajar Malaysia di Pekanbaru dievakuasi ke KL, Jakarta

Pelajar Malaysia yang berada di Riau, yang kini diisytiharkan darurat jerebu, akan dievakuasi hari ini ke Kuala Lumpur dan Jakarta. FOTO: BERNAMA
A
A

JAKARTA - Pelajar Malaysia yang berada di Riau, yang kini diisytiharkan darurat jerebu akan dievakuasi hari ini ke Kuala Lumpur dan Jakarta.

Menurut sumber, untuk peringkat pertama seramai 40 pelajar akan berlepas ke Kuala Lumpur dari Pekanbaru menggunakan pesawat Air Asia AK430 pada 10.55 pagi dan dijangka tiba 12.50 tengahari waktu Malaysia.

"Peringkat kedua seramai 31 pelajar menerusi penerbangan AirAsia jam 4.15 petang berlepas dari Pekanbaru ke Kuala Lumpur dan tiba 6.10 petang," katanya.

Jurucakap itu berkata, bagi pelajar Malaysia yang dievakuasi ke Jakarta, akan menggunakan pesawat Batik Air ID6849

"Seramai 35 orang dijadualkan ke Jakarta dari Pekanbaru pada 5 petang dan tiba 6.45 petang," katanya.

Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur semalam, seramai 280 pelajar Malaysia di Pekanbaru dan Jambi, Indonesia akan dievakuasi ekoran pengumuman darurat di Riau akibat jerebu.

Daripada jumlah tersebut, 160 pelajar akan dibawa pulang ke Malaysia manakala 120 akan dievakuasi ke Dewan Malaysia di Jakarta, Indonesia membabitkan 183 pelajar di Pekanbaru dan 97 di Jambi. - Bernama