Lebih 80 penuntut sertai protes #GejayanMemanggil cedera

Polis anti rusuhan terpaksa menggunakan semburan air untuk menyuraikan peserta protes di Makassar, Sulawesi semalam. Foto: AFP
Polis anti rusuhan terpaksa menggunakan semburan air untuk menyuraikan peserta protes di Makassar, Sulawesi semalam. Foto: AFP
A
A
A

JAKARTA - Lebih 80 penuntut universiti di Indonesia cedera selepas insiden pertempuran dengan pihak berkuasa ketika protes membantah kod jenayah baharu berkaitan undang-undang yang didakwa akan melemahkan agensi anti rasuah di negara itu dan melarang seks luar nikah.

Jurucakap Hospital Pertamina di Jakarta hari ini memaklumkan kecederaan yang dialami mereka termasuk patah tulang, cedera di kepala dan masalah pernafasan akibat terhidu gas pemedih mata.

Pasukan keselamatan bertindak menyuraikan kumpulan protes di luar Parlimen sebelum tengah malam tadi selepas demonstrasi dilancarkan menerusi #GejayanMemanggil yang masuk hari kedua itu bertukar ganas.

Menjelang pagi tadi, anggota majlis perbandaran mula membersihkan sekitar ibu negara yang ditimbuni sampah sarap termasuk botol plastik dan batu yang ditinggalkan peserta protes.

Demonstrasi sama turut diadakan di bandar lain di seluruh negara.

Difahamkan beberapa kumpulan mahasiswa berikrar untuk kembali mengadakan tunjuk perasaan hari ini dan akan terus melakukan protes sehingga undang-undang baharu itu dibatalkan.

Situasi yang semakin tegang itu menyebabkan Speaker Parlimen menggesa kumpulan pelajar terbabit supaya bertenang dan turut menjemput mereka untuk berdialog.

"Kami mahu rang undang-undang yang dibahaskan itu supaya disemak semula," kata penuntut universiti Jakarta dikenali sebagai Amel.

Artikel Berkaitan:

Ketika kejadian semalam, polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan semburan air untuk menyuraikan kumpulan penunjuk perasaan terbabit selepas keadaan menjadi tidak terkawal.

Di Makassar, polis turut mengambil tindakan sama terhadap peserta protes yang bertindak membaling batu dan merobohkan sekatan di luar pejabat gabenor di Semarang.

"Kami perlu bertindak tegas kerana kumpulan pelajar itu merosakkan harta-benda kerajaan," kata jurucakap polis, Dicky Sondani.

Semalam, ahli Parlimen turut membahaskan ratusan undang-undang baharu berkaitan sekatan terhadap jualan alat pencegah hamil dan mengetatkan undang-undang menghina agama serta presiden.

Difahamkan, proses undian terhadap rang undang-undang kontroversi terbabit dijadualkan semalam namun Presiden, Joko Widodo atau Jokowi meminta ia ditangguhkan selepas berdepan bantahan umum. - Agensi