YouTuber India cipta kandungan penderaan seksual kanak-kanak ditahan

ANDHRA PRADESH – Seorang pencipta kandungan YouTube ditahan polis atas dakwaan mencipta, memuat naik dan mengedarkan kandungan penderaan seksual kanak-kanak menerusi platform berkenaan.
Menurut laporan NDTV, K S Murthy, 39, yang merupakan penduduk Visakhapatnam, India, ditahan Unit Jenayah Siber Polis Hyderabad.
Penahanan itu susulan pihak polis membuka kertas siasatan secara suo motu (inisiatif sendiri) sejak Oktober tahun lalu selepas mengesan kandungan mencurigakan berkenaan.
Polis memaklumkan suspek mengendalikan sebuah saluran YouTube bernama Viral Hub dan menghasilkan video temu bual membabitkan kanak-kanak bawah umur antara 15 hingga 17 tahun.
“Siasatan mendapati suspek mengemukakan soalan berunsur lucah dan seksual secara terbuka kepada kanak-kanak terbabit.
“Dalam salah satu video, dia turut memaksa dua kanak-kanak bawah umur berciuman, yang jelas merupakan satu bentuk eksploitasi seksual,” kata polis dalam kenyataan pada Rabu.
Analisis teknikal yang dijalankan mengesahkan kandungan tersebut melanggar undang-undang siber serta peruntukan perlindungan kanak-kanak.
Susulan itu, suspek dikenal pasti, dijejaki dan ditahan berdasarkan bukti digital yang diperoleh.
Pihak berkuasa turut mendedahkan suspek aktif di media sosial sejak 2018 dan pada peringkat awal hanya menghasilkan kandungan temu bual melibatkan individu berpengaruh dengan penggunaan bahasa kesat bagi meraih tontonan dan pendapatan tinggi.
“Namun, suspek kemudian mula menyasarkan golongan bawah umur untuk meningkatkan pendapatan melalui monetisasi, sekali gus melakukan kesalahan yang jauh lebih serius,” ujar pihak berkuasa.
Suspek dipercayai telah memuat naik hampir 400 video dan salurannya mempunyai lebih 250,000 pelanggan.
Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) Jenayah Siber memaklumkan pihaknya akan mengemukakan permohonan rasmi kepada Google bagi menutup saluran YouTube terbabit.
Ringkasan AI
- Seorang pencipta kandungan YouTube ditahan atas dakwaan mencipta kandungan penderaan seksual kanak-kanak
- K S Murthy ditahan oleh Polis Siber Hyderabad selepas pihak polis mengesan kandungan mencurigakan
- Suspek mengendalikan saluran YouTube Viral Hub dan menghasilkan video temu bual dengan kanak-kanak bawah umur
- Analisis teknikal mengesahkan kandungan tersebut melanggar undang-undang siber dan peruntukan perlindungan kanak-kanak
- Suspek mempunyai hampir 400 video dan lebih 250,000 pelanggan di salurannya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

